Hati-hati Supaya Tidak Dimanipulasi, Menjelang PRU Lebih Banyak Laporan Dihidang – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Okt – “Menjelang PRU15 saya jangkakan lebih banyak laporan tentang BN menggunakan sumber akan dihidangkan kepada rakyat, maka berhati-hatilah supaya kita tidak mudah dimanipulasi oleh pihak yang berselindung di sebalik nama `sumber’.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap rakyat Malaysia berhati-hati apabila dihidangkan dengan berita tentang Barisan Nasional (BN) yang mendakwa memetik sumber.

“Sumber itu boleh jadi siapa sahaja. Mungkin pihak yang mempunyai muslihat tertentu untuk berita itu disiarkan. Mungkin sahaja berita itu disasarkan akan menyumbang kepada kepentingan ‘sumber’ atau rakan subahatnya.

“Sebagai contoh berita yang memetik sumber konon saya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Saya sebagai Pengerusi BN sentiasa menghormati kebebasan media untuk melaporkan berita.

“Saya sebagai insan amat memahami keperluan media melaporkan bahan untuk meraih perhatian pembaca. Bagaimanapun sebagai pembaca perlulah kita meneliti sama ada laporan itu telah dilaporkan dengan asas yang kukuh,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya, dengan hanya berdasarkan sumber atau khabar angin bermakna maklumat tersebut ketiadaan asas yang tepat.

“Pengalaman PRU14 pada 9 Mei 2018 harus menjadi panduan dan tauladan dalam menilai sesuatu maklumat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.