PRU15 Pelbagaikan Kelayakan Undi Awal/ Undi Pos, Termasuk Mahasiswa – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 21 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta agar mempertimbangkan kelayakan undi awal/undi pos kepada para mahasiswa yang sedang belajar di unversiti bagi memberikan hak serta peluang mereka memilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebagaimana yang sudah diluluskan oleh Dewan Negara iaitu pengundi muda 18 tahun dibenarkan mengundi melalui pendaftaran secara automatik berkuatkuasa pada 15 Disember tahun lepas dengan hak mereka (pengundi muda) sebagai pemilih berdaftar tidak boleh dipinggirkan.

“Kita sedia maklum penuntut unversiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang kini sedang menuntut dan sebahagianya baru sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di seluruh unversiti di negara ini, justeru kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Agung SAFA Azman Mastar dan kakitangan SAFA bagi membincangkan pelancaran Akdemi SAFA diseluruh Sabah dan pelancaran pecah tanah tapak SAFA Kinabatangan di kediamannya di Luyang pada Khamis.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, pelajar di unversiti sudah tentu mengalami kekangan untuk keluar mengundi kerana tinggal jauh dari tempat kelahiran yang melibatkan kos perbelanjaan untuk balik ke kawasan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU ke-15 kali ini sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan lain-lain daerah.

Justeru Bung menambah pihak SPR perlu memikirkan penyelesaian misalnya mengketegorikan mereka sebagai pengundi awal dengan memberikan ruang untuk menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan pembelajaran mereka.

Sehubungan itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pelaksanaan undi pos atau undi awal bagi mahasiswa yang berumur 18 tahun ke atas perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar IPT di Malaysia mencecah lebih 500,000 orang.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan pengundi muda diberikan ruang dan keselesaan sebagai pemilih bagi menentukan masa depan negara sekali gus menggalakkan peratusan keluar mengundi tinggi,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga menyokong saranan Ketua Puteri UMNO Sabah, Datuk Dr. Fadilah Sabri untuk SPR mempertimbang cadangan yang disuarakan pelbagai pihak dalam memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar dan mencapai maksudnya.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan rakyat di negeri ini boleh menjalankan hak mereka keluar mengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.