PRU15: Ahmad Zahid Ingatkan Hati-hati Bisikan Fitnah

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat berhati-hati dengan helah pembangkang yang akan mencetuskan anasir fitnah terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, apatah lagi ketika ini sudah kedengaran suara-suara fitnah dilemparkan mereka terutama membabitkan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Kini menjelang PRU15 anasir-anasir mereka untuk menghasut fitnah kembali kedengaran.

“Maka berhati-hatilah rakyat Malaysia kerana bisikan fitnah akan sentiasa cuba mencari ruang untuk menghasut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tegas Pengerusi BN itu lagi, sebelum ini pembangkang juga sudah mencipta pelbagai persepsi kononnya pilihan raya berlangsung secara tidak adil malah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut tidak terlepas menjadi mangsa fitnah.

“… tentunya semua masih ingat tuduhan 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi di Malaysia.

“Begitu juga kempen politik pembangkang konon berlaku insiden ‘lampu padam’ semasa pengiraan undi,” ujar beliau.

Jelas Ahmad Zahid tujuan utama mereka melakukan perkara tersebut cuma satu iaitu untuk mencetuskan syak wasangka dan rasa kurang senang masyarakat.

Bagaimanapun katanya sudah terbukti BN dalam mentadbir negara adalah kerajaan yang menghormati mandat rakyat.

“Walau tertewas angkara politik fitnah, penipuan dan janji palsu lawan, BN menerima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka meskipun ia amat memeritkan.

“Selepas sekian lama menabur budi akhirnya dikalahkan dengan kelicikan lawan bermain persepsi, bagaimanapun BN tahu kebatilan tidak mampu bertahan lama kerana kebenaran akan terserlah.

“Justeru, BN yang tidak dapat membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018 berusaha bangkit semula… bukan melalui rusuhan jalanan, fitnah dan pembohongan, tetapi melalui fakta dan kebenaran,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.