Kestabilan Dan Kemakmuran Isu Utama PRU15, Untuk Kepentingan Rakyat Dan Negara – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Kestabilan dan kemakmuran adalah isu utama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini dan ianya adalah untuk kepentingan negara serta seluruh rakyat Malaysia.

Tegas beliau jauh sekali jika dikatakan PRU ini adalah untuk kepentingan mana-mana parti politik mahupun pemimpin politik itu sendiri kerana yang utama adalah untuk memastikan kestabilan bukan sahaja dalam soal politik malah untuk pentadbiran negara khususnya berdepan cabaran ekonomi pada tahun depan.

“PRU ini lebih kepada masa depan negara dan bukannya masa depan pemimpin-pemimpin parti politik. Pemimpin politik datang dan pergi tetapi ini lebih kepada soal negara dan rakyat Malaysia. Itu sebabnya PRU ini amat-amat penting.

“2023 bermulanya tahun kemelesetan ekonomi dunia… bukan BN yang cakap… bukan Abdul Rahman Dahlan yang cakap. Semua penganalisa ekonomi seluruh dunia mengatakan 2023 akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia dan Malaysia sendiri tidak akan terlepas daripada kesan kemelesetan ekonomi ini.

“Pilihan raya diadakan pada tahun ini bukannya mahu selamatkan sesiapa ataupun atas dasar politik, tetapi kita mahu sebuah kerajaan diwujudkan di Putrajaya pertamanya untuk mendapatkan kestabilan dan yang keduanya bersedia daripada awal untuk menyediakan Malaysia supaya tidak terkesan dalam kemelesetan ekonomi dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, di sini, malam tadi. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul majid.

Abdul Rahman seterusnya menegaskan memang betul soal banjir yang dibangkitkan oleh banyak pihak turut menimbulkan kerisauan malah beliau sendiri pun faham mengenainya, namun kerisauan yang lebih besar apakah negara mampu berdepan suasana ekonomi pada tahun depan dan ianya memerlukan masa yang awal.

“Katalah kita sampai hujung penggal parlimen ke-14… ini bermakna pertengahan tahun depan dengan keadaan kecelaruan politik yang ada sekarang ini percayalah kerajaan tidak ada masa untuk menangani isu-isu besar tentang ekonomi. Kemudaratan ekonomi ini tidak dapat dielakkan jika kerajaan yang dibentuk itu pada tahun hadapan.

“Ianya perlu bermula sekarang… kenapa… bulan November, Disember ini adalah masa pengurus-pengurus dana investment … foreighn direct investment … Fund Manager seluruh dunia mereka akan buat keputuan pada bulan November dan Disember ini dimana negara-negara yang mereka mahu melabur pada tahun depan. Bukannya bulan Januari buat keputusan. Untuk 2023, bulan November dan Disember ini ‘critical  movement’ untuk kita yakinkan pelabur-pelabur ini bahawa destinasi pelaburan mereka tahun depan ialah Malaysia,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, jika seandainya kerajaan tidak stabil, amat susah dan sukar untuk pelabur membuat keputusan dan sekaligus dibimbangi nama negara tidak tersenarai dalam pelaburan mereka nanti.

“Kalau kerajaan masih tidak stabil, politik tidak stabil percayalah nama Malaysia tidak tersenarai dalam jadual mereka. Sebab itu pada kita… kebimbangan kita kalau kita buat PRU tahun depan kita akan terlepas peluang untuk menjadikan ekonomi Malaysia kalis kemelesetan ekonomi dan ini yang paling penting.

“Betul kebimbangan tentang banjir memang ada dan kita pun bimbang tetapi kebimbangan kita adalah mudarat yang lebih besar iaitu kemungkinan ekonomi Malaysia merundum teruk jika tidak ada persiapan menangani kemelesetan ekonomi adalah satu perkara yang amat besar,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.