KPM Perlu Terbuka Terima Pandangan Guru, Jangan Ambil Tindakan Cara Diktator

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Johor Bahru, Faiz Mohd Silvano berpandangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya memberi saluran yang seluasnya kepada guru-guru memberikan pendapat.

Menurutnya, apabila tidak diberi ruang tersebut KPM tidak seharusnya menyalahkan pihak guru sekiranya mereka berkongsi di media sosial.

Respon ini ekoran tular seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang mendakwa berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.

“Cikgu Fadli memberi pendapat beliau tentang beberapa perkara iaitu;

1. Beg berat bahaya pada anak-anak kita
2. Silibus tinggi dan padat, silibus syok sendiri.
3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas.
4. Subjek yang banyak murid belajar.
5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi.
6. Adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak.

“Apa yang dilakukan adalah dengan kebajikan pelajar dalam minda mereka… bukan untuk meraih populariti.

“Sebaliknya mulut mereka ditutup, persis gaya diktator… yang bersuara menentang, dipenjara atau dibunuh karakternya. Sampai bila pun takkan boleh pendidikan negara maju,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut Faiz berkata guru-guru adalah pelaksana segala pelan pendidikan yang ditetapkan disebabkan itu mereka mengetahui segala permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar.

“Mereka di lapangan bersama murid berjam-jam setiap hari, merekalah yang tahu isu-isu yang dihadapi pelajar.

“Saya sebagai seorang bapa kepada pelajar sekolah rendah kebangsaan amat-amat setuju. Apatah lagi bila beg sekolah anak macam asa batu bata beratnya. Malah sudah beberapa kali diulas tentang masalah-masalah ini.

“…tapi apabila cikgu Fadli mengulas dan memberi pendapat tentang isu ini, dia diberikan notis tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat.

“Mengapa tidak dibuat konsultasi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan? Mengapa bila isu sudah besar baru mahu berjumpa dengan cikgu Fadli? Adakah Menteri Pendidikan takut hilang sokongan kerana pilihan raya sudah hampir?” soal beliau.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan untuk ditubuhkan satu pasukan khas dalam KPM untuk turun ke daerah-daerah dan bertemu guru-guru dalam mendapatkan maklum balas mereka.

“Jangan hanya harapkan laporan pejabat pendidikan daerah, ‘go to the ground’. Pendidikan adalah masa depan negara. Jangan ambil mudah.

“Kalau tak boleh jalankan tugas, berhenti kerja… bukan diberhentikan guru-guru yang berhempas pulas mendidik anak-anak bangsa,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.