Parti Politik Islam-Melayu Perlu Elak Kritik Sesama Sendiri

BERA, 16 Okt – Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap parti politik Islam-Melayu untuk tidak terlalu terbuka dalam mengkritik satu sama lain.

Katanya ini kerana, tindakan Pas yang melemparkan kenyataan negatif kepada UMNO adalah suatu yang tidak baik untuk masa depan kedua-dua parti terutama sekali selepas penubuhan Muafakat Nasional (MN).

“Saya pun tidak faham apa maksud parti keruh itu tapi berharap sesama kita terutama UMNO dan Pas selama ini telah cuba bekerjasama membentuk MN untuk elak caci-mencaci, tuduh antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2022 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Ismail Sabri pada masa sama juga turut berkata menyakitkan hati pihak lain tidak menguntungkan sebaliknya hanya akan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Jadi sebagai umat Islam tidak sepatutnya kita menyerang sesama sendiri sebab hubungan itu mungkin boleh elok semula akan datang kerana kita dalam politik ini tidak selamanya jadi musuh dan kawan.

“Sepatutnya kita cuba elakkan menyakitkan hati sesiapa dalam politik ini mana tahu satu hari nanti duduk bersama balik demi kepentingan umat Islam dan Melayu di negara kita jadi kalau sudah terlepas cakap, tuduh yang bukan-bukan akhirnya menimbulkan sakit hati antara sama lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan masih terdapat ‘kekeruhan’ membelenggu UMNO-Barisan Nasional melibatkan beberapa perkara yang menjadi sebab untuk mereka bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.