15 Tahun PKR Perintah Sungai Petani… Tiada Satu Pun Pembangunan Dibuat

SUNGAI PETANI, 16 Okt – Sepanjang 15 tahun PKR memerintah Parlimen Sungai Petani, tiada sebarang pembangunan yang dibawa ke kawasan tersebut, tegas Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff.

Justeru soalnya, apakah perlunya memilih mereka lagi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15 kelak sedangkan selama ini UMNO/Barisan Nasional (BN) yang kalah pada PRU lalu melakukan politik khidmat bakti kepada rakyat.

“UMNO/BN Sungai Petani dididik dengan politik khidmat bakti. Walaupun kalah, kita tidak pernah berhenti memberi khidmat kepada rakyat.

“Selama 15 tahun, kita punya Yang Berhormat (YB) daripada PKR tidak buat apa-apa kerja langsung. Tidak ada satu pembangunan pun yang berlaku disini,” katanya ketika memberi ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Petani, di sini, semalam.

Menurut Shahanim, bagi menutup kesalahan mereka, pelbagai fitnah telah dilemparkan kepada UMNO/BN bagi mengaburi mata rakyat terutamanya di Sungai Petani.

“Dia (Datuk Johari) tidak mampu buat kerja macam UMNO/BN, sebab itu mereka perlu menaburkan fitnah. Kalau dia tidak memfitnah, maka dia tiada kerja. Jadi kita tak orang memfitnah itu menang kerana mereka tak buat kerja?

“Sepanjang Datuk Johari menjadi Ahli Parlimen, beliau tidak pernah membawa sehelai surat pun untuk meminta sebarang pembaikan infrastruktur daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Selama 15 tahun, sehelai surat pun beliau tidak pernah buat.

“Apabila saya tengok Datuk Johari tidak pernah buat apa-apa, saya minta kepada Menteri KPLB untuk bantu Sungai Petani. Saya tahu mesti banyak lagi yang saya belum penuhi tetapi kita dapat sebanyak 125 buah untuk baik pulih rumah dan 25 buah untuk bina baharu,” katanya lagi.

Tambah Shahanim lagi, UMNO/BN kalah kerana parti itu jujur dan ikhlas membantu rakyat serta tidak berjanji perkara yang tidak mampu untuk ditunaikan.

“Kita kalah kerana kita jujur dan ikhlas. Dahulu bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib kata tidak boleh mansuh PTPTN. Sebab tak tipu rakyat, kita kalah.

“Untuk perkara yang kita tak boleh laksanakan, kita tidak boleh masukkan dalam janji. Sesuatu janji tersebut dibincang dahulu, ada bajet ke tidak. PH ini disebabkan mahu kemenangan, mereka sanggup tipu rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.