Tak Guna Logo PN: Cubaan Pas Kaburi Penyokong Sendiri, Tak Yakin Dengan PN

 

PONTIAN, 15 Okt – Keputusan pimpinan Pas tidak mahu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah strategi untuk mengaburi dan mengelirukan pandangan penyokong mereka semata-mata.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu seolah-olah Pas mahu menunjukkan kepada penyokong kuat di negeri-negeri itu yang diketahui menolak perjuangan bersama PN bahawa mereka tidak mahu kelihatan bersama dengan PPBM.

“Itu terpulang kepada Pas dan kita melihat ia adalah satu strategi untuk mengaburi pandangan penyokong mereka sebenarnya. Mereka tidak mahu kelihatan bersama dengan PPBM – parti daripada 31 ahli Parlimen sebelum ini 25 ahli Parlimen adalah yang melompat dari parti lain, hanya enam orang sahaja ahli Parlimen asal. Itu yang berlaku pada PPBM 80 peratus ahli Parlimennya adalah ahli yang melompat ke parti itu, hanya 20 peratus sahaja ahli Parlimen asal.

“Oleh itu pada pandangan saya apa yang dibuat Pas itu adalah untuk mengaburi pandangan pengikutnya di tiga buah negeri yang ‘hardcore’ kepada perjuangan Pas menolak bersama dengan Perikatan Nasional. Oleh itu logo dan perkataan Perikatan Nasional itu tidak sesuai dengan penyokong-penyokong Pas di tiga negeri itu.

“Jadi, politik Pas ini adalah pengaburan terhadap penyokong-penyokong mereka. Pada hakikatnya mereka bersama dengan PPBM,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui selepas mengadakan ziarah kasih di beberapa rumah di sini, Jumaat malam.

Sebelum itu, Ahmad turut menunaikan solat Isyak berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Jamek Parit Sapran di sini.

Seterusnya ulas Ahmad lagi, ia juga secara tidak langsung menunjukkan Pas tidak yakin dengan kemampuan PN di dalam menghadapi PRU-15 ini.

“Dan ia menunjukkan juga ketidakyakinan Pas terhadap Perikatan Nasional. Kalau Pas yakin kepada Perikatan Nasional, logo Perikatan Nasional dan bendera Perikatan Nasional, tentu mereka menggunakan logo Perikatan Nasional dan bukan logo parti mereka. Ini membuktikan ketidakyakinan Pas kepada Perikatan Nasional,” ujarnya.

Berhubung dengan kecaman dan tuduhan berkaitan pendakwaan kes rasuah yang dilemparkan pihak lawan kepada UMNO, Ahmad menjelaskan perkara tersebut merupakan satu tuduhan berasaskan pendakwaan bermotifkan politik yang dilakukan ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita melihat tuduhan rasuah ini adalah tuduhan berunsurkan tuduhan politik, dipanggil sebagai ‘selective political prosecution’ ataupun pendakwaan bermotifkan politik. Pendakwaan berpilih bermotifkan politik yang dilakukan ketika zaman PH dan ia diteruskan sehingga sekarang kesnya ada yang belum selesai.

“Kalau kita lihat senarai yang pastinya Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid) 40 (tuduhan) daripadanya telah bebas dan lepas, Datuk Seri Azeez Rahim dibebas, Datuk Seri Tengku Adnan (Tengku Adnan Tengku Mansor) bebas. Siapa yang kena? Yang kena seorang iaitu Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak), itupun dipertikaikan apa yang berlaku terhadap beliau.

“Kita menunggu apa yang berlaku iaitu dipanggil sebagai ‘judicial review’ ataupun semakan kehakiman terhadap kes di Mahkamah Persekutuan itu. Dan kita pun tahu bahawa prosesnya itu banyak yang tidak puas hati terhadap apa yang berlaku. Jadi, kalau itulah yang dituduh oleh (pimpinan) Pas, ia adalah satu kesilapan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.