Bubar Parlimen: Tidak Pernah Berlaku Dalam Sejarah Bantahan Anggota Kabinet – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bantahan daripada anggota kabinet berhubung pembubaran parlimen seperti mana yang berlaku baru-baru ini iaitu sekaligus memperlihatkan wujudnya ketidakharmonian dalam kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru soal Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bagaimanakah untuk menghadapi cabaran yang mendatang jika diambil kira perkara berkenaan yang akhirnya mewujudkan ketidakstabilan dalam kerajaan nanti.

Kata beliau kabinet memainkan peranan yang amat penting dalam memacu negara terutama berkaitan dasar-dasar dan sebagainya lagi dalam usaha membawa negara dan membela kepentingan serta kebajikan rakyat seluruhnya.

“Kabinet ialah tempat untuk memutuskan dasar-dasar dan membawa hala tuju negara. Sebab itu kabinet berbincang tiap-tiap minggu. Hari itu adalah hari bagaimana untuk kita memacu negara berdasarkan peruntukan-peruntukan yang ada dan waktu itulah bentangkan dasar-dasar dan sebagainya.

“Jika timbul dakwaan bahawa pembubaran parlimen untuk menukar kerajaan… sedangkan kita melihat cabaran yang bakal mendatang untuk negara kita ini pelbagai. Selain dari soal tengkujuh, banjir, yang lain juga bakal melanda iaitu taufan ekonomi. Kalau kita tengok bank sudah menaikkan tiga kali OPRnya dan angka yang memperlihatkan ekonomi pada masa akan datang.

“Jadi Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil. Kalau kita tidak stabil maka bagaimana kita mahu menghadapi cabaran besar nanti. Kestabilan itulah menjadi ramuan penting untuk kita membawa negara pada masa akan datang. Tetapi kalau kita sebutkan 12 orang anggota kabinet tidak membawa keharmonian bagaimana untuk menghadapi cabaran yang akan kita depani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara yang disiarkan malam tadi melalui Facebook UMNO Online. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul Majid.

Jamil Khir seterusnya menambah warkah yang dihantar oleh 12 menteri kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) sepatutnya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bukannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah bantahan daripada anggota kabinet… sebab anggota kabinet ini adalah lantikan daripada Perdana Menteri dan ini hak mutlak daripada Perdana Menteri tetapi sampai di satu persimpangan tiba-tiba 12 daripada menteri-menteri yang datang daripada PN bawa satu memorandum yang pada saya kalau diteliti dan dilihat secara betul memorandum itu sepatutnya dihantar kepada Perdan Menteri, bukannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab Yang di-Pertuan Agong sudah ambil maklum semasa menubuhkan kerajaann yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Pada waktu itu tandatangan SD dan Tuanku memperakui jumlah yang tersebut iaitu mereka ini adalah orang yang menyokong PM.

“Kalau kita lihat Tuanku Agong sangat teliti dalam hal seperti ini… hal berkaitan pembubaran dan sebagainya sehingga Tuanku Agong mengambil satu langkah yang bijaksana iaitu Tuanku Agong telah pergi mendapatkan taklimat serta melawat sendiri persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh.”

Jelasnya, Baginda Yang di-Pertuan Agong mengambil satu pendekatan yang sangat bijaksana serta berhati-hati dan mendengar dulu taklimat apakah persiapan itu sudah cukup dan sebagainya.

“Maknanya, kalau berlaku apakah tindakan yang bakal diambil dan saya pasti rumusan semua itu Tuanku telah meletakkan satu pertimbangan sehingga membenarkan… sebab PM mempunyai ‘locus standy’ untuk menasihati Yang  di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan Tuanku telah memperkenankan pembubaran berkenaan.

“Saya fikir ini bukan perkara yang harus dipersoalkan tentang kuasa Tuanku yang telah jelas dalam Perlembagaan salah satunya ialah membubarkan Parlimen,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.