Mohd Shahar Tegaskan Bajet 2023 Pro-Rakyat, Bukan ‘Gula-Gula’ PRU

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Dakwaan pihak lawan terutamanya Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan bahawa Bajet 2023 merupakan bajet ‘gula-gula’ untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan mereka mempunyai sangkaan jahat serta tidak melihat betapa kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu ialah bajet pro-rakyat dan ianya merupakan satu langkah jangka pendek bagi memastikan rakyat diperkasakan.

“Bajet 2023 adalah bajet untuk rakyat selepas dua tahun kita menghadapi pandemik COVID-19 dan sudah pasti ianya merupakan satu langkah jangka pendek untuk memastikan rakyat dapat kita selamatkan dan perkasakan.

“Jadi, kalau ada dakwaan yang mengatakan bahawa Bajet 2023 adalah bajet ‘gula-gula’ untuk PRU, saya rasa mereka mempunyai sangkaan yang sangat-sangat jahat. Mereka tidak melihat betapa kepentingan rakyat mesti diutamakan.

“Mereka hanya menumpukan untuk berpolitik semata-mata disebabkan mahu berada di atas. Saya rasa mereka telah melakukan satu kesilapan yang besar kerana Bajet 2023 adalah bajet pro-rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar berkata, janji kitar semula yang dibuat oleh PH baru-baru ini seperti pemansuhan PTPTN dan tol adalah tidak masuk akal.

“Mereka tahu apa yang mereka janjikan itu langsung tidak masuk akal kerana selama 22 bulan mentadbir negara ternyata mereka gagal meskipun rakyat telah memberi peluang.

“Rakyat bukanlah seperti yang mereka sangkakan, tidak mengetahui apa yang mereka katakan itu sebagai satu dakwaan semata-mata dan mudah ditipu. Rakyat sudah pandai, mempunyai pengalaman, serik dan trauma dengan janji palsu pihak PH,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar rakyat memberikan ruang semula kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah dan membina negara.

“Harapan saya, pengundi mesti memberi mandat dan ruang sekali lagi kepada UMNO/BN untuk membina semula negara kerana selama 22 bulan tersebut banyak sangat perkara dilakukan oleh PH yang telah menyebabkan rakyat terkesan dari segi ekonomi, dasar-dasar pendidikan, dasar-dasar untuk menyelamatkan bangsa bumiputra dan pelbagai kebobrokan dalam sistem ekonomi negara.

“PRU ke-15 kali ini merupakan satu langkah yang pantas untuk kita kembalikan kestabilan negara bagi memastikan kemakmuran dan ekonomi negara kembali lebih baik daripada apa yang kita hadapi selama empat tahun ini,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan bahawa Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah negara apabila sebanyak RM372.3 bilion dibelanjakan, memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada rakyat Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.