Kenyataan ‘Salah Tafsir’… Cukup-cukuplah Tun M, Sekarang Zaman Media Sosial – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil menjelaskan kenyataannya bahawa UMNO akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), telah disalah tafsir oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menyatakan UMNO akan kalah.

Menjawab hal tersebut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, “cukup-cukuplah Tun Mahathir. Ini zaman media sosial. Bukan lagi zaman di mana dia `menguasai’ segenap saluran maklumat.”

Atau barangkali kata Ahmad Zahid, Tun Mahathir hanya membaca laporan media tertentu yang hanya melaporkan kenyataannya sekerat-sekerat.

“Jika begitu keadaannya maka tiada siapa dapat menolong kecuali terdapat sekelumit dalam hatinya untuk melihat kebenaran,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini.

Soal Ahmad Zahid, apakah beliau `tersilap tafsir’ atau Pengerusi Pejuang merangkap Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad `tersilap auta’?

“Mantan Pengerusi PH itu mendakwa konon saya telah `tersilap tafsir’ kenyataannya tentang UMNO akan menang PRU15.

“Konon saya tidak mengulas tuduhannya Melayu akan sokong UMNO disebabkan tawaran wang.”

Sehubungan itu, Ahmad Zahid memberikan intipati kenyataannya sebelum ini iaitu:

• Seseorang harus menasihati Tun Mahathir berhenti memperlekehkan orang Melayu.

• Majoriti Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar ditipu atas apa yang berlaku sebelum dan selepas PRU14.

• Melayu telah serik dengan hasutan, fitnah dan janji-janji manis manifesto bukan kitab suci, hanya mensucikan diri mereka sendiri supaya dilihat suci sahaja sebenarnya.

• Melayu telah menyaksikan kerosakan bukan sahaja ekonomi, malah keharmonian hidup bermasyarakat.

• Melayu telah mengerti betapa penting kerajaan yang berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil untuk mentadbir negara demi kemakmuran tanah air.

• Tindakan Mahathir terus melabelkan orang Melayu secara negatif boleh mencetuskan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang kaum. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.