Syukur Akhirnya Mandat Dikembalikan Kepada Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran kerana akhirnya mandat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya ini sekali gus membuktikan bahawa UMNO dan pimpinannya sentiasa berjiwa besar dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan rakyat dan tanah air.

“Walau parti ini pernah disalah erti angkara fitnah dan tipu daya beberapa tahun lalu, tidak sesekali UMNO berpaling daripada perjuangan untuk rakyat dan negara.

“Dalam keadaan diburuk sangka, ditekan dan diasak dari segenap arah, UMNO tetap istiqamah berpegang kepada kebenaran dan tanggungjawabnya,”

“Apakah UMNO perlu “down” ketika itu? UMNO tidak “down”. Perlukan UMNO akur akan ugutan dan berundur? Haruskah gentar pada ancaman?
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ :Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang maha tinggi lagi maha agung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, sifat berjiwa besar UMNO telah terbukti pada 2020 apabila merestui sebilangan wakil rakyatnya bekerjasama dengan seteru politik membentuk kerajaan sementara.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi ianya sagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara daripada kucar-kacir selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang angkara perebutan kuasa sesama mereka.

“UMNO malah berjiwa besar demi rakyat bersetuju mengangkat ketua parti lawan sebagai Perdana Menteri bagi mengelak krisis pentadbiran daripada berterusan.

“Namun ibarat air susu dibalas tuba, kebaikan UMNO dibalas dengan pembelotan “scheme of things” mahu menikam parti ini dari belakang.

“Perdana Menteri kerajaan sementara gagal mengalas amanah yang diberikan menyebabkan UMNO terpaksa menarik balik sokongan kepadanya,” ujar beliau.

Menurut Ahmad Zahid lagi, hari ini UMNO dan pimpinannya sekali lagi berjiwa besar menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

“UMNO meminta Parlimen dibubarkan ketika di puncak kuasa kerajaan campuran adalah demi kemaslahatan dan masa depan rakyat serta negara.

“Insya-Allah ini langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.