Agong Tiada Pilihan Selain Perkenan Bubar Parlimen – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mempunyai pilihan selain memperkenan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen, bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa, tanpa memberikan butiran lanjut.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat, mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November.

Menurutnya Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini selepas menerima menghadap perdana menteri dalam sesi tidak berjadual di Istana Negara, 12 tengah hari semalam.

Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan mengumumkan pembubaran Parlimen mengatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.