Selama UMNO Berpaksi Di Bumi Malaysia, Kepentingan Islam Dan Umat Akan Dijunjung – Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji bahawa selagi parti keramat ini berpaksi di bumi Malaysia, selagi itu UMNO akan menjulang kepentingan Islam dan umatnya di negara ini.

Bagaimanapun dalam pada masa yang sama masih tetap menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Beberapa kajian akademik sebelum ini memperakui peranan UMNO dalam menegakkan Islam di Malaysia merupakan hakikat sejarah tanah air.

“Sejarah pemaktuban Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah dengan mengambil pandangan UMNO kepada Suruhanjaya Reid pada 1956. “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”

“Perkara inilah yang terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan yang membentuk negara Malaysia sehingga hari ini. Konotasi yang terjemah dalam Perkara 3 (1) juga memupuk sebuah keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di tanah air tercinta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara beliau berkata pada 2019 selepas dilantik sebagai Presiden, UMNO telah melakukan pindaan membabitkan Fasal 3 Perlembagaannya.

Malah Perhimpunan Agung UMNO sebulat suara meluluskan usul meletakkan Islam di hadapan bagi asas dan tujuan perjuangan parti terbesar Melayu ini.

“Pendirian UMNO terhadap kepentingan agana Islam telah disaksikan sejak kemerdekaan negara dan ditambah baik pada 2019.

“Sebab itu UMNO tidak pernah menolak dan menyokong apa juga program berkait Islam termasuk Sambutan Maulidur Rasul S.A.W.

“Tentunya ramai masih ingat Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pernah diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka,” ujar beliau.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, di kawasan juga Sambutan Maulidur Rasul saban tahun diadakan.

“Dengan syarat melibatkan pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, mempelajari riwayat hidup Baginda S.A.W atau sirahnya.

“Juga penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah S.A.W dan disemarakkan dengan berselawat kepada Baginda,”

Beliau juga turut berkongsi hadis Riwayat al-Nasa’i, berkenaan fadhilat berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” – [Riwayat al-Nasa’i, no. 1297] – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.