Berhenti Perlekeh Kejujuran Dan Kebijaksanaan Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap ada pihak menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti melemparkan kata-kata yang memperlekehkan kejujuran dan kebijaksanaan orang Melayu.

Katanya ini kerana, ramalan bekas Perdana Menteri bahawa UMNO akan menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua pihak kawan mahupun lawan UMNO sememangnya menjangkakan demikain.

“Media melaporkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA) ketika ditemu bual agensi AP mengesahkan kebanyakan pengundi Melayu sudah kembali menyokong UMNO.

“Beliau bagaimanapun mendakwa orang Melayu kembali sokong UMNO kerana ditawarkan wang dan insentif lain, maka UMNO akan menang PRU15,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Tun Mahathir perlu tahu majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar akan kesilapan yang sebahagian mereka lakukan pada PRU14.

Ujar Ahmad Zahid, rakyat tidak mahu kesilapan lalu berulang gara-gara terpedaya dengan pembohongan, hasutan, fitnah dan janji-janji manis manifesto bukan kitab suci.

“Mereka telah menyaksikan kerosakan bukan sahaja ekonomi, malah keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa di Malaysia akibat kesilapan itu.

“Orang Melayu telah mengerti betapa penting kerajaan yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil untuk mentadbir demi kemakmuran tanah air.

“Janganlah hanya kerana majoriti orang Melayu tidak lagi mempercayai Pejuang, GTA, Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional, maka dituduh pengundi Melayu menyokong UMNO kerana wang,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berharap Dr Mahathir untuk berhentikan melabel orang Melayu secara negatif kerana ia perbuatan yang boleh mencetuskan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“UMNO akan terus menjadi wadah yang menyatukan orang Melayu dan memupuk perpaduan masyarakat berbilang bangsa serta agama di negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.