PRU15: Pemuda UMNO/BN Kuala Langat Sasar Menang Semua Kerusi

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Semangat yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) Bahagian Kuala Langat jelas menunjukkan bahawa mereka telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal berlaku pada bila-bila masa.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Zurihan Yusop berkata, dengan komitmen yang diberikan perlu disepadukan dengan langkah-langkah seterusnya bagi memastikan keempat-empat kerusi di kawasan tersebut dimenangi oleh UMNO/BN.

“…yang telah memberi komitmen, dalam masa sehari dua lagi Parlimen mungkin akan dibubarkan. Kalau bubar esok, maknanya semalam kita telah bersedia.

“Semangat Pemuda BN harus disepadukan dan dikuatkan. Kerja Pemuda adalah untuk mendapatkan serta mencari undi orang muda serta gerakkan segala jentera Pemuda. Kita perlu fikirkan langkah-langkah seterusnya untuk pastikan keempat-empat kerusi milik kita bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN Bahagian Kuala Langat.

Jelasnya, untuk mempertahankan kepimpinan UMNO/BN, tiada istilah tiada kawan dan sekiranya rakyat mahu merasa bajet yang dibentangkan semalam, maka rakyat perlu memilih parti itu sebagai pemerintah.

“Inilah yang kita nak tunjukkan, bagaimana semangat kita hari ini. Kita harus bertindak walaupun sendiri kerana tiada istilah saya tiada kawan. Sebab itu hari ini kerja kita ialah mempertahankan kepimpinan UMNO/BN.

“Kalau nak rasa bajet yang dibentangkan sekarang, caranya ialah kita harus mempertahankan kerajaan UMNO/BN yang separuh ini, kita berikan mandat kepada mereka sepenuhnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zurihan turut menyentuh beberapa inisiatif yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat melalui pembentangan Bajet 2023.

“Nak pilih kerajaan yang macam mana? Adakah nak pilih kerajaan yang beri subsidi telur sebiji RM0.03 atau kerajaan yang bagi RM30 setahun? Anak-anak muda yang mendapat kelas pertama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu membayar semula PTPTN. Ini sebenarnya manifesto mereka, namun UMNO/BN yang laksanakan.

“Pilih UMNO/BN, kerajaan yang berjasa sebelum merdeka. BN Kuala Langat dah besar, harapan Saya sebagai Ketua UMNO bahagian untuk sama-sama kita meraikan, kalau hari ini kita pilihan raya, kita diumumkan menang 100 peratus kerusi yang kita tandingi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.