Pemuda BN Bersedia Sepenuhnya Depani PRU15 … Tidak Mahu Peristiwa Hitam Berulang

KUALA LANGAT, 8 Okt – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Shahril Hamdan yakin bahawa Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) di bahagian tersebut telah bersedia serta bersepakat sekiranya pembubaran Parlimen berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Jelasnya, ini bagi memastikan bahawa sejarah 9 Mei 2018 tidak berulang kembali sekaligus memastikan UMNO/BN kembali memimpin pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Empat tahun pelbagai peristiwa kita lalui. Kerajaan silih berganti, ada tiga Perdana Menteri satu penggal.

“Mula-mula kita kalah, Pakatan Harapan (PH) jadi Perdana Menteri. Sungguh mengecewakan kerana subsidi dipotong, bantuan dipotong dan anak muda dikencing bulat-bulat oleh PH,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Pelancaran Jentera Pemuda BN Bahagian Kuala Langat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu turut berkata, janji-janji palsu mereka itu bukan satu kesilapan malah ianya datang dari jiwa mereka sendiri yang bersikap enggan membantu rakyat.

“PTPTN tipu, tol tipu. Yang kita dapat menteri yang minta kita minum sawit, buat kereta terbang. Para nelayan disuruh tanam nenas sekiranya tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh.

“Jangan kita lupa segala penipuan mereka. Ini bukan kesilapan tetapi memang jiwa sebenar mereka. Kalau boleh mereka tidak mahu bantu dan manjakan rakyat.

“Bagi mereka rakyat perlu berkorban dan segala bantuan ini merupakan rasuah. ‘Jangan bagi duit kepada orang Melayu nanti mereka malas’. Itulah mereka,” katanya lagi.

Menurut Shahril lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meninggalkan kesan yang hebat hingga kini.

“Pada mula pemerintahan PN, ramai rakyat berasa lega sebab tiada siapa yang lebih teruk daripada PH. Akhirnya apa yang kita dapat ialah satu keadaan apabila kita tengah susah semasa COVID, kita tidak boleh bangkit dengan laju disebabkan tiada ketegasan yang jelas.

“Kita tidak boleh bangkit dengan laju disebabkan tiada ketegasan dalam dasar buka tutup ekonomi. Itu masalahnya. Macam mana anak muda nak cari kerja? Macam mana perniagaan mahu dibuka? Ini masalah bawah PN,” katanya lagi.

Katanya, meskipun sehingga sekarang ini kerajaan persekutuan masih lagi bercampur, sekurang-kurangnya Perdana Menterinya adalah daripada UMNO/BN.

“Sampai sekarang masih kerajaan campur, namun ‘kepala’nya daripada UMNO/BN. Sekurang-kurangnya jiwa untuk membantu rakyat itu ada.

“Walaupun yang terakhir ini belum sempurna, namun jauh lebih baik daripada sebelumnya. Kalau kita dapat kembali secara dominan untuk membentuk kerajaan pada PRU ke-15, itu lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.