Petisyen Ciptaan Rafizi Gagal, Tak Dapat Sambutan Waima Ahli PH/PKR Sendiri

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan tujuan utama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mewujudkan petisyen membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai salah satu cara hendak melihat data, jumlah sokongan dan sentimen rakyat terhadap dirinya sendiri, PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Namun katanya, mengikut data terkini petisyen tersebut sehingga ke hari ini kurang 25,000 orang menandatangani meskipun sudah seminggu telah dilancarkan.

“Kelihatan gagal apabila nama besar yang buat tapi hasilnya tidak seberapa, kalau nak dibandingkan dengan jumlah followers Rafizi Ramli yang berjumlah 897,000 di Facebook sahaja ini bermakna hanya 2.7 peratus sahaja yang sign petisyen ini.

“Sikit sangat… (populariti sudah jatuh) kalau kita bandingkan pula dengan jumlah ahli PKR yang cecah 1 juta ahli. Hanya 2 peratus sahaja yang mengundi.

“Maknanya, sesama ahli PKR pun tidak sign petisyen ini. Pemilihan Parti PKR pun teruk juga yang keluar mengundi. (Ternyata gagal) kalau bandingkan pula dengan ahli-ahli di dalam PH? Saya pasti tak sampai 1 peratus sahaja jumlahnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azhari pada masa sama turut menyenaraikan kesimpulan yang dapat dilihat daripada kegagalan Rafizi, berikut antara pemerhatian beliau:-

1. Rakyat tidak peduli dengan naratif yang dibawa Rafizi.
2. Rafizi sudah jatuh popularitinya.
3. Ahli PKR sendiri tidak yakin dan percaya dengan Rafizi.
4. Rakyat setuju PRU diadakan segera untuk memulihkan negara.
5. Ahli PH sendiri tidak peduli kempen yang dianjurkan Rafizi.

Beliau juga yakin bahawa kebanyakkan pemilik akaun media sosial aktif di ruangan komen dan mempertahankan Rafizi dan PH di Facebook, Tiktok, Twitter adalah kumpulan cybertrooper parti itu.

“Mereka ada banyak fake account agar kelihatan banyak terima sokongan rakyat di media sosial. Padahal tiada tapi mereka telah terkantoi dengan petisyen yang dibuat Rafizi ini. Tiada sambutan dan sendu.

“Sebab itu mereka risau jika PRU diadakan sekarang. Mereka pasti akan kalah dan hilang kerusi seperti apa yang berlaku di PRN Melaka, Sarawak dan Johor.

“Maka, alasan demi alasan mereka cipta seperti suruh selesaikan masalah telurlah dulu baru PRU, bahaya buat PRU waktu banjirlah padahal boleh buat sebelum banjir dan banyak lagi,” sindir beliau.

Bagaimanapun jelas Azhari meskipun Rafizi kelihatan khuatir tentang banjir namun ketika rakyat berhadapan dengan musibah itu sebelum ini dirinya tidak turun padang membantu.

“Padahal waktu banjir sebelum ini ke mana pula Rafizi? tak nampak batang hidung pun bantu rakyat ketika banjir. Yang juara membantu rakyat adalah UMNO dan Barisan Nasional. Betul tak?

“Apa-apa pun saya berharap Parlimen dapat dibubarkan segera agar mandat dikembalikan kepada rakyat dan seterusnya kestabilan dan kemakmuran dapat dicapai serta menyelesaikan masalah ekonomi negara. Amin,” ujar beliau – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.