Pahang Tarik Pelaburan RM2.34 Bilion Sejak 2019

KUANTAN, 7 Okt – Kerajaan negeri Pahang menerusi Bahagian Pelaburan dan Penswastaan dan Unit Antarabangsa, Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri telah menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan 11 syarikat luar negara sejak tahun 2019, melibatkan nilai pelaburan yang dianggarkan RM2.341 bilion.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata antara negara terlibat ialah Singapura, Thailand dan China.

Beliau berkata demikian di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Razali Kassim (BN-Muadzam Shah) yang ingin tahu jumlah pelaburan luar negara yang berjaya dibawa ke negeri Pahang.

Menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PAS-Beserah), Wan Rosdy berkata Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang merupakan pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan di Gebeng di sini, adalah pelabur paling tinggi di Pahang.

Sementara itu bagi menjawab soalan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) berhubung projek tebatan banjir daerah Temerloh, beliau berkata Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Semantan Fasa 1 dengan kos RM47.8 juta telah bermula pada 12 Julai lepas dan akan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran telah membuat kertas permohonan Cadangan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan Fasa II dengan anggaran kos RM383 juta serta Rancangan Tebatan Banjir Sungai Krau RM111 juta secara ‘off-budget’ kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Projek berkenaan dijangka bermula tahun 2023 hingga 2028 dengan antara skop kerjanya ialah pembinaan ban tanah, dinding penahan banjir, rumah pam, kolam takungan serta naik taraf sistem saliran utama yang akan mengurangkan kadar risiko banjir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.