Isu Kuari: UMNO/BN Tolak Pembangunan Yang Menjejaskan Rakyat – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 7 Okt – UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak pernah menolak sebarang pembangunan selagi ianya tidak memberi kesan buruk kepada rakyat mahupun alam sekitar.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Shah Zanuriman berkata, namun, sekiranya pembangunan tersebut memberi banyak masalah maka ianya perlu ditolak.

“Kita tidak menolak pembangunan malah negara ini dibina hasil daripada usaha UMNO/BN. Tetapi apabila pembangunan itu tidak dirancang sehingga menyusahkan rakyat setempat, sehingga menyusahkan penduduk, sehingga menyusahkan generasi yang akan datang, menjejaskan ekosistem, kita tolaklah.

“27 kuari dibuka tanpa ada satu perbincangan dengan stakeholder iaitu rakyat di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuang dan di dalam Parlimen Selayang, apakah signal yang kerajaan negeri nak bagi? Adakah kerajaan negeri mengambil kira masalah-masalah yang akan timbul? Kenapa dalam 27 kuari tu ada kepentingan kerajaan negeri di situ dan ada syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di situ?

“…dan kenapa 27 kuari yang perlu dibuka serentak, tak boleh ke buka by stage, by phase? Study dulu. Persoalan-persoalan ini yang kerajaan negeri tak jawab sehingga terpaksa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang membuat pendedahan,” katanya menerusi sesi bual bicara secara langsung di UMNO Online pada Khamis.

Menurutnya, masalah lain yang dihadapi oleh Parlimen Selayang ialah masalah banjir, tanah runtuh, kesesakan lalu lintas serta kilang haram, menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak cakna akan masalah rakyat.

“Masalah rakyat di Selayang yang paling besar, pertamanya ialah banjir. Keduanya, tanah runtuh, kesesakan lalu lintas dan juga kilang haram. Lain DUN, lain masalahnya.

“Kuang ini masalah paling besar ialah isu tanah. Isu penempatan dan kemudiannya banjir.
Bila hampir 15 tahun PH memerintah Selangor, Kuang ni banyak tanah-tanah orang kampung dan tanah-tanah ini diwarisi tapi bila berhadapan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Selayang, banyak benda yang tak sepatutnya dipersoalkan berkenaan tanah tradisi ini yang mengakibatkan banyak rakyat kampung kecil hati, marah bila hak mereka dinafikan.

“Selain daripada itu, dalam DUN Kuang ada juga masalah banjir melibatkan beberapa kawasan yang selalu berlaku banjir tersebut. Masalah terbaharu dalam DUN Kuang ialah kuari. 27 kuari bakal dibuka di dalam Parlimen Selayang melibatkan hampir separuh di dalam DUN Kuang,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, media melaporkan bahawa 27 kuari baharu akan dibuka di Hutan Bukit Lagong yang menjejaskan hutan simpan berkenaan, menunjukkan bahawa kerajaan Negeri Selangor rakus serta tidak memikirkan kesan masa panjang projek itu kepada rakyat.

Pembukaan tapak kuari itu turut membimbangkan masyarakat Orang Asli di sekitar Kuang kerana ianya akan mencetuskan pencemaran serta banjir. Kebanyakan kawasan yang digazetkan untuk kuari ini ialah kawasan mereka untuk mencari hasil hutan dan kawasan anak sungai. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.