Pihak Lawan Guna Alasan Musim Hujan Setelah Janji, Fitnah Tidak Berguna – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Lawan UMNO/Barisan Nasional (BN) khususnya Pakatan Harapan (PH) menggunakan alasan musim hujan bagi ‘membeli masa’ setelah mengetahui bahawa fitnah serta janji baharu mereka tidak dapat memperdaya rakyat lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera UMNO/BN perlu bingkas menjelaskan kepada rakyat bahawa lawan UMNO/BN membantah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukanlah disebabkan musim hujan.

“Rakyat perlu dibentangkan dengan fakta lawan BN telah menolak proses demokrasi daripada dilangsungkan sejak tahun lalu. Bermula alasan Covid-19 masih ada ketika imuniti kelompok telah dicapai dan segala aktiviti sosial/ekonomi kembali beroperasi.

“Kemudian memberi pula alasan tidak perlu diadakan PRU-15 kerana pembangkang telah menjalin MoU dengan kerajaan. Muslihat sebenar lawan BN enggan berdepan PRU-15 kerana tahu mereka ditolak oleh majoriti rakyat harus diketahui masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi BN itu turut berkata, fakta tersebut penting diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan yang saksama dalam menilai tohmahan baharu.

“Fakta itu penting diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan yang saksama dalam menilai fitnah baharu.

“Rakyat perlu difahamkan PRU-15 amat penting bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh untuk berdepan risiko bencana. PRU-15 amat mustahak bagi membentuk kerajaan yang berdaya mendepani ramalan kemelesetan ekonomi global tahun depan,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, berikut adalah kronologi auta lawan UMNO/BN berkait PRU ke-15:

28 Mac 2021: UMNO/BN minta PRU ke-15 diadakan apabila tempoh darurat tamat pada 1 Ogos 2021 bagi mengembalikan kestabilan.

1 April – 31 Ogos 2021: Mereka beri alasan Covid-19 masih ada sedangkan aktiviti sosial mahupun ekonomi telah kembali sepenuhnya. Negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

13 Sept 2021: Mereka bergegas memeterai MoU dengan kerajaan selepas tarikh 1 Ogos berakhir dan menetapkan PRU ke-15 tidak boleh diadakan sebelum Julai 2022.

10 Mac 2022: Mereka menawarkan kerajaan lanjutan MoU dengan syarat tidak adakan PRU ke-15 selepas Julai 2022.

23 Mac 2022: Mereka mengagalkan usul kerajaan melanjutkan peruntukan Akta SOSMA negara menyebabkan MoU terbatal.

24 Mac 2022: Mereka menafikan MoU telah terbatal dan menegaskan PRU ke-15 masih belum boleh diadakan.

1-30 September 2022: Mereka bantah PRU ke-15 diadakan tahun ini dengan alasan negara telah memasuki musim hujan.

2 Oktober 2022: Mereka bantah PRU ke-15 tahun ini kerana didakwa tidak menghormati sambutan perayaan Deepavali. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.