PRU15: Cabaran Perang Oleh PPBM Harus Disahut – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun menganggap kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencetuskan perang dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu disahut.

Ini kerana katanya, tujuan asal parti itu adalah untuk menjatuhkan UMNO/BN atas sifat dendam kesumat yang masih berbekas.

“Kita tahu Perikatan Nasional (PN) yang mana pengerusinya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita tidak terkejut dengan kenyataan tersebut kerana asalnya beliau juga adalah Presiden PPBM. Memang agenda PPBM nak jatuhkan UMNO/BN.

“Bagi saya, walaupun mereka duduk dalam satu kerajaan hari ini, dendam itu masih ada dan memang tujuan asal mereka adalah untuk menjatuhkan UMNO/BN. Kita boleh lihat walaupun mereka hari ini mahukan Penyatuan Ummah dengan Pas dan sebagainya, tetapi mereka tidak memusuhi Pakatan Harapan (PH) sebaliknya lebih memusuhi UMNO/BN. Jadi, kita pun dah jelas bahawa mereka declare war dengan kita. Maka, lawan tetap lawan,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai turut menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersara dan berehat memandangkan beliau sudah pun menjangkau usia 97 tahun.

“Tun Mahathir kata nak jadi lagi Perdana Menteri kali ketiga. Tun, you dah 97 tahun bagi saya eloklah berehat dan bersara. Saya sebagai salah seorang doktor perubatan, apabila anda dah berumur begitu janganlah nak stresskan diri dengan keadaan negara. Kita pun tahu bukan senang nak memimpin negara, banyak stress dan tekanannya. Jadi saya harap Tun ambil langkah yang bijak dan jangan nak memeningkan diri.

“Mungkin ada yang menyokongnya sebab tak mustahil bila dia buat gabungan parti GTA (Gerakan Tanah Air) itu memang niatnya nak menjadi perdana menteri semula. Tetapi rakyat Malaysia kena sedar apabila mereka memerintah selama 22 bulan dahulu, Tun sendiri meletakkan jawatan tanpa kita suruh setelah mendapat mandat. Tak mustahil dia boleh buat kali yang ketiga, runtuh lagi kerajaan, kucar-kacir lagi negara kita. The keyword here is kestabilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Masliha turut berpesan kepada semua rakyat agar tidak tersalah pilih lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Pesanan saya kepada semua pengundi seluruh rakyat Malaysia khususnya janganlah kita salah pangkah. Kembalilah memangkah UMNO/BN demi kestabilan dan kemakmuran. Kita boleh lihat sebagai contoh Melaka dan Johor, yang dah ditunjangi UMNO/BN kembali mereka punya FDI (pelaburan asing), ekonomi meningkat. Johor hari ini mereka berada di tangga satu KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.

“Jadi, insya-Allah kalau kita stabil, ekonomi kita akan meningkat dan ramai pelabur yang akan masuk. So pentingnya kestabilan sebab kita tak nak negara ini berubah, kerajaan jatuh berulang kali, tukar perdana menteri berulang kali. Tidak mahu kejadian itu berlaku, apabila kita terpaksa bergabung dan bergabung, untuk membentuk kerajaan. Berilah peluang kepada UMNO/BN, pangkahlah UMNO/BN, pilih UMNO/BN kembali, bagi kami peluang untuk memerintah kembali negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.