Tarikh Bubar Selepas Perdana Menteri Jumpa Agong – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pembubaran Parlimen akan ditetapkan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap dan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, tarikh pembubaran juga hanya akan ditetapkan selepas pertemuan itu diadakan.

“Saya ingin mengumumkan bahawa pembubaran ditetapkan setelah Perdana Menteri menghadap dan menasihati Agong, bila masanya terpulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan YAB Perdana Menteri Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Husein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ahmad Zahid pada masa yang sama turut memaklumkan perjumpaan diadakan pada hari ini adalah bagi kesiap siagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Perjumpaan pada hari ini adalah merupakan empat peringkat iaitu ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri juga pengerusi-pengerusi perhubungan negeri dan semua ahli-ahli majlis kerja tertinggi, exco wanita pemuda dan puteri.

“Pada hemat kami, ini adalah pertemuan kali terakhir sebelum PRU diadakan, saya dan Perdana Menteri telah beri amanat kepada kepimpinan empat peringkat ini terutamanya bagi kesiap siagaan bahawa semua jentera sama ada di peringkat lokaliti, Pusat Daerah Mengundi, Dewan Undangan Negeri, Parlimen mesti bersedia,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengulangi pendirian parti berkenaan kriteria calon perlu memenuhi aspek ‘wali’ iaitu (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

“… untuk pemilihan calon kali ini pengerusi negeri akan kemukakan nama calon kepada ‘top 5’ bagi penentuan yang penuhi kriteria ‘wali’ iaitu ‘winnable, acceptable’ dan ‘likeable’ iaitu mereka yang disengani pengundi.

“Siapa sahaja pun yang memenuhi tiga kriteria ini akan menjadi calon UMNO yang akan mewakili BN, tidak ada calon mengikut kluster-kluster tertentu tapi penting calon akan menggunakan panji-panji BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.