Sejarah 22 Bulan PH Perintah Negara Tidak Akan Dilupakan Rakyat – Sharkar
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin percaya dan yakin rakyat tidak akan melupakan sejarah 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Jelas beliau pada waktu itu pelbagai peringkat masyarakat merasai perubahan tampuk pemerintahan negara berbanding BN sebelum itu yang sudah pasti ianya satu perkara atau peristiwa yang tidak mudah untuk dilupakan hari ini.
“Kita cukup berkeyakinan… malah di kawasan saya sendiri, Temerloh ramai di kalangan masyarakat setempat khususnya pengundi datang berjumpa dengan kita bahawa mereka menyesal… dan mereka tidak akan dapat melupai tragedi 22 bulan yang diperintah oleh PH… mereka boleh merasai. Ini bukan satu benda yang senang untuk dilupakan.
“Selama 22 bulan diperintah PH rakyat pelbagai peringkat termasuklah para peniaga dapat merasakannya… dan keseluruhan rakyat Malaysia dapat rasai bagaimana keperitan yang dilalui selama 22 bulan.
“Sebelum BN kalah, kita telah meninggalkan kewangan negara dalam keadaan yang sangat baik tetapi apabila PH memerintah kita pun tahu… saya pun tidak mahu komenlah sebab terlalu banyak untuk kita ulas,” katanya menerusi program bual bicara malam tadi.
Sharkar yang juga Ketua UMNO Temerloh seterusnya menambah menjelang PRU akan datang pimpinan parti pelbagai peringkat terus melipat gandakan usaha dan gerakan biarpun tanpa kelibat mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika sebelum ini Datuk Seri Najib begitu aktif menerusi penulisan FB dan sebagainya… hari ini presiden serta kepimpinan parti pelbagai peringkat melalui mpelbagai medium sentiasa ke depan dan aktif menjawab tohmahan dan menjelaskan isu. Kita kena faham Datuk Seri Najib dahulunya merupakan bekas PM jadi apabila dalam keadaan itu sepertimana juga Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila bercakap mereka masing-masing mempunyai follower tersendiri yang kita tidak boleh nak bandingkan dengan yang lain.
“Jadi sebab itulah pada saya apabila Datuk Seri Najib tidak ada, kita boleh lihat keberkesanan daripada sudut lain serta beberapa tokoh lain dalam MKT selain daripada Presiden, Timbalan serta barisan MKT yang lain yang sentiasa memberikan penerangan dan sebagainya.
“Cumanya ia bukan datang daripada Datuk Seri Najib… sedangkan jawapan yang diketengahkan itu penerangan yang menarik. Apa pun pimpinan pelbagai peringkat sentiasa memberikan jawapan dan ketengahkan penerangan isu semasa,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas