Pelik… Shahar Kongsi Pengalaman Urus Kewangan Negara Selepas PH Jatuh
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkongsi pengalamannya dalam urusan kewangan negara selepas jatuhnya kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan mereka mentadbir negara.
Paling mengejutkan kata beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, takrifan anak muda telah diubah daripada 21 tahun kepada 40 tahun yang memberikan kesan cukup besar kepada golongan berkenaan dari sudut bantuan dan sebagainya.
“22 bulan PH menguruskan kewangan negara banyak sangat perkara-perkara yang dikatakan seolah-olahnya pentadbiran sebelumnya telah melakukan banyak kerosakan tetapi 22 bulan inilah kita dapat lihat banyak inisiatif-inisiatif yang dapat kepada rakyat telah dikurangkan atau dihilangkan dan sebagai anak muda saya terkejut dalam tempoh 22 bulan itu mereka menukar tafsiran bantuan kepada anak muda.
“Selalunya anak muda ini ditakrifkan 21 tahun ke atas tetapi dibawah PH, paling mudah mereka tafsir anak muda ini umurnya 40 tahun ke atas. 40 tahun ke atas baru dapat… dan tafsiran ini agak janggal tetapi ianya benar-benar berlaku tetapi ianya sudah pasti akan memberi kesan yang tidak baik kepada anak muda.
“Apabila kerajaan PH tumbang dan kerajaan baru naik, ketika itu saya jadi Timbalan Menteri Kewangan II, saya melihat perkara-perkara ini dapat dibetulkan dan Alhamdulillah kita tukar balik takrifan anak muda itu kepada 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara menerusi segmen FBLive menerusi platform Facebook UMNO Online yang dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul Majid.
Shahar seterusnya berkata pelbagai lontaran terhadap kerajaan sebelum PH mengambil alih teraju negara bukan sahaja menimbulkan pelbagai persoalan malah ianya tidak sama dengan apa yang diperkatakan itu.
“Mereka kata kerajaan ini membuat hutang yang banyak, duitnya tidak ada tetapi apabila kerajaan yang ada pada hari ini boleh pula beri macam-macam. Zaman COVID-19 boleh pula ada kecairan kewangan sehingga kita dapat melancarkan lapan pakej ransangan ekonomi yang berjumlah RM530 bilion untuk diberikan kepada rakyat bagi memastikan rakyat dapat dibantu dalam tempoh pandemik itu. Ini belum lagi dicampur jumlah Bajet 2021 dan 2022. Ini semua kita buat kerana kita mempunyai sistem kewangan yang kuat untuk memacu ekonomi.
“Alhamdulillah dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, kita dapat suku kedua pada 2022 pada kadar 8.9 peratus. Suku pertama 2022 lima peratus berbanding pada tahun 2021 pada kadar 3.1 peratus dan kita mempunyai keupayaan yang jelas kerana separuh pertama tahun 2022 kita berada pada kadar enam peratus ke atas. Ini satm pencapaian yang cukup baik berbanding dengan negara-negara jiran,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan saiz penjawat awam yang dikatakan besar oleh PH adalah satu perkara yang boleh diuruskan dengan sebaiknya sepertimana pada zaman Barisan Nasional (BN) menerajui negara sebelum itu.
“Penjawat awam adalah ‘engine’ atau ‘tools’ yang menggerakkan sistem kerajaan dan sudah pasti alat yang meggerakkan sistem kerajaan ini merupakan elemen yang amat penting dalam struktur organisasi sesebuah negara.
“Mana mungkin alat tersebut dikatakan membebankan negara walhal alat tersebutlah yang membantu untuk memperbaiki, membina serta menyelaras segala ekonomi negara. Sudah pasti di bawah kerajaan PH mereka menyalahkannya kerana saiz penjawat awam besar tetapi kita mesti tahu mengurus keadaan ekonomi ketika itu dan kecekapakan serta keupayaan itu hanya ada pada kerajaan BN yang telah membuktikan pembangunan negara sehingga apa yang kita ada pada hari ini.
“Mana mungkin kita boleh ada satu nama yang besar antara negara-negara jiran kalau kerajaan BN tidak berupaya menguruskan kewangan negara. Pada zaman Datuk Seri Najib kita lihat defisit negara pada ketika itu berada dalam kadaan sangat terkawal berbanding dengan apa yang ada pada zaman PH,” tambahnya lagi. – UMNO Online