Kerajaan Selangor Gagal, Muncul Isu Besar Gelabah Tuding Jari Salahkan Orang Lain – Azley

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Datuk Azley Yahya berpandangan kerajaan negeri Selangor seringkali mengambil sikap menuding jari menyalahkan pihak lain terutama apabila munculnya isu-isu tertentu membabitkan negeri.

Katanya, mengambil contoh bencana banjir yang melanda pada tahun lalu, mereka sendiri yang tidak mengambil langkah wajar lalu bertindak sambil lewa dalam mengurangkan risiko lebih besar kepada rakyat.

“Saya lihat kerajaan negeri Selangor ini bila ada isu-isu besar, maka mereka akan menggelabah menuding jari kepada orang lain. Banjir besar dengan kelewatan pengurusan dan koordinasi, yang disalahkan ialah kerajaan Persekutuan.

“Isu penebangan hutan dan penyahwartaan hutan simpan, yang disalahkan ialah Barisan Nasional (BN) walaupun Pakatan Harapan (PH) ini sudah tiga penggal memerintah di Selangor. Jadi saya mahu tegaskan, cukup-cukuplah asyik mencari salah orang lain, sebaiknya bersikaplah seperti sebuah kerajaan.

“Berkenaan isu banjir, ini bukan sesuatu yang baharu dan luar jangka, mungkin banjir besar pada hujung tahun lepas adalah mengejutkan tetapi bukannya langsung tidak diramalkan.

“Beberapa kali amaran Jabatan Meteorologi serta pengenalpastian kawasan hot spot banjir sudah sedia ada. Bahkan kerajaan PH sendiri telah kenalpasti 328 kawasan hot spot banjir sejak tahun 2018 lagi,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Azley malah menambah keadaan ini jelas menunjukkan ketidakcekapan kerajaan pimpinan PH untuk menguruskan, merancang, mengkoordinasi, bukan sahaja mitigasi bahkan pengurusan bencana serta langkah adaptasi jangka masa pendek dan panjang.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri malah berkata banyak lagi negeri lain yang dilanda banjir besar saban tahun seperti Pahang dan Johor namun langkah awal dilakukan bagi meningkatkan tahap kesiap siagaan,.

“Isu banjir ini bukan soal bermusim tetapi sudah menjadi trend, recurrent dan kesan langsung akibat krisis perubahan iklim.

“Apa yang membezakan negeri-negeri ini dan Selangor? Jawapannya ialah pimpinan negeri, beza bagaimana kecekapan tadbir urus dan pengurusan di antara BN dan PH,” tegas beliau.

Sementara itu, menyentuh berkenaan 27 tapak kuari baru di Hutan Simpan Bukit Lagong yang diperkatakan, Azley berkata ini bukan sahaja mencabul alam sekitar bahkan memberi risiko kepada rakyat Selangor termasuk juga memberi kesan kepada tanah dan sumber ekonomi masyarakat Orang Asli dengan bencana banjir kerana gangguan kepada kawasan tadahan hujan malah .

“Bila viral dan mendapat tekanan awam, maka disalahkan lagi BN sedangkan kerajaan negeri sendiri yang rakus menjarah hutan simpan di Selangor.

“Bukannya mereka tidak ada kuasa, siapapun yang buat keputusan, kalau dirasakan proses penyahwartaan itu tidak lagi relevan kerana isu alam sekitar terkini, maka kerajaan negeri ada kuasa untuk buat intervensi bagi mengawal perkara ini.

“… tetapi apa mereka buat? Menjarah dengan rakus, nanti kena attack dia salahkan BN yang sudah lagi tidak berkuasa sejak 2008 pun. Jadi, saya cuma ingin bagitau kepada PH Selangor satu peribahasa, ‘buruk muka, cermin dibelah'” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.