Ahmad Zahid Bidas Tun M… Pentingnya PRU15 Diadakan Sekarang, Sediakan Kerajaan Stabil, Kukuh, Jaga Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pentingnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 diadakan sekarang untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menjaga kebajikan rakyat.
Dalam hal ini beliau yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) membidas Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan beberapa dakwaan terhadap BN.
“Tun Mahathir mendakwa kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan menang PRU-14 kerana BN merampas kuasa. Tun terlupa kerajaan PH tumbang selepas beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri berikutan perebutan kuasa yang terjadi dalam PH.
“Kisah perebutan kuasa yang berlaku dalam kerajaan PH ketika itu bukan suatu rahsia lagi. Seluruh rakyat telah mengetahui apa yang berlaku. Tun Mahathir didesak oleh sekutunya untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR selepas tempoh dua tahun.
“Mahathir sebaliknya bertindak meletakkan jawatan dan mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan baharu mengikut kehendaknya. Cadangan beliau itu telah ditolak oleh ramai pihak kerana berbaur diktator dan autokrat.”
Jelasnya, Mahathir sepatutnya berterima kasih kerana BN menyelamatkan kelangsungan pentadbiran negara yang kucar kacir akibat percaturan politik beliau dan PH malah bekas orang kanan Tun, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri mengulas perkara berkaitan baru-baru ini.
“Benar rakyat memilih PH pada PRU-14 selepas terpedaya dengan pendekatan populis Tun, Dap, PPBM, PKR, PAN, namun rakyat akhirnya menyedari hakikat kebenaran yang dipertontonkan itu.
“Pilihan raya kecil antara 22 Januari 2019 hingga 25 Februari 2020 menyaksikan Tun dan PH ditolak oleh majoriti pengundi termasuk di Semenyih dan Tanjung Piai. Tun tuduh BN rampas kerajaan melalui ‘ahli politik katak’ tidak benar sama sekali kerana yang menerima banyak ‘ahli politik katak’ adalah parti mereka sendiri.
“Ketika itu Tun dan PPBM melahirkan rasa gembira ‘ahli politik katak’ melompat keluar daripada UMNO untuk bersama beliau dan PH untuk mensucikan diri mereka.”
Kata Ahmad Zahid lagi, Tun Mahathir tuduh UMNO tidak peduli rakyat dan hanya mahu jadi Perdana Menteri sedangkan UMNO pernah membuktikan sebaliknya.
“UMNO berlapang dada menyokong Presiden PPBM jadi Perdana Menteri ke-8 tanpa sebarang syarat seperti dilakukan Presiden PPBM terhadap Perdana Menteri ke-9. Keputusan itu dibuat semata-mata demi kelangsungan pentadbiran kerajaan ketika itu yang amat penting kepada rakyat dan negara.
“Individu yang diketahui berulang kali mencerminkan kemahuan diri untuk terus menjadi Perdana Menteri ketika ini adalah Pengerusi GTA, Pengerusi PH dan Pengerusi PN.
“Tun mendakwa ramai akan cedera dan mati jika PRU-15 diadakan sekarang walhal tiada siapa dapat meramalkan dengan tepat adakah banjir besar akan berlaku atau tidak.”
Tegasnya lagi, usah memperlekehkan kewibaan pasukan keselamatan, malah Jabatan Meteorologi Malaysia menerangkan istilah hujan purata yang diramal berlaku tidak semestinya menyebabkan banjir besar. – UMNO Online