UMNO Terus Perkasakan Wanita, 30 Peratus Calon PRU Akan Datang

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata agenda pemerkasaan Wanita yang dibawa oleh Wanita UMNO berkaitan 30 peratus calon Wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang telah dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Bercakap kepada media di Pontian, beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan berkata takrifan calon wanita termasuklah calon wanita UMNO, calon Puteri, calon wanita parti komponen dan calon wanita yang berjawatan dalam bahagian.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang pada Jumaat 30/9/22 telah membincangkan antara lain mengenai agenda pemerkasaan wanita yang dibawa oleh Wanita UMNO Malaysia.

“Majlis Kerja Tertinggi telah bersetuju untuk meletakkan 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ketika PRN Johor, sebanyak 25% calon adalah wanita seperti kategori yang dinyatakan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kesetiaan, kemampuan dan peranan besar yang dilaksanakan oleh wanita sebagai tulang belakang parti selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Karnival Ayuh Cergas peringkat daerah, anjuran Hospital Pontian di Dewan Jubli Intan, Pontian.

Turut hadir Dr Iszaid Idris, Pengarah Hospital Pontian, YB Hjh Hasrunizah Hasan ADUN Pulai Sebatang, YB Datuk Jefridin Atan ADUN Kukup dan YB Datuk Tan Eng Meng ADUN Pekan Nanas.

Ahmad Maslan seterusnya menambah UMNO akan terus menjadi parti tunjang dalam mengarusperdanakan kepimpinan wanita sebagai pembuat keputusan baik dalam politik, kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019, UMNO telah meminda perlembagaan parti Fasal 9.2.2  di mana Ketua Wanita UMNO Malaysia diangkat, bertaraf Timbalan Presiden UMNO,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.