Rakyat Faham Mengapa Pembangkang Hari Ini Seperti ‘Cacing Kepanasan’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPU, 2 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya rakyat faham mengapa pembangkang seperti `cacing kepanasan’ selepas Mesyuarat MKT UMNO telah bersetuju PRU-15 diadakan sekarang.

Bertambah `panas’ kata beliau lagi kerana Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ketakutan, kegelisahan, kebimbangan, kerungsingan, keresahan sedang menyelubungi mereka untuk berdepan hari penentuan rakyat.  Justeru, UMNO menjadi sasaran amarah mereka ditohmah angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan derhaka.

“Apakah ayat akan `mempersembahkan’ kepada Yang Di-Pertuan Agong boleh dianggap sebagai suatu penderhakaan?Apakah ayat akan `mempersembahkan’ tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta membelakangkan Yang Di-Pertuan Agong? ,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, UMNO dalam sentiap tindakannya sentiasa berpandukan peraturan dan Perlembagaan Negara kerana kita bukan parti politik `cap ayam’.

Tegas beliau cukup-cukuplah cuba memperdayakan fikiran masyarakat dengan “spin” dan manipulasi sedangkan rakyat sudah tahu akan kebenaran.

“Pihak manakah yang berusaha menandatangani Statut Rom dan meratifikasi ICERD yang boleh menjejaskan kuasa Raja-Raja Melayu?  Pihak manakah yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan derhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong dalam isu Ordinan Darurat?

“Itu secebis daripada banyak agenda lawan BN yang menderhaka serta cuba mengubah nilai dan asas negara demi kepentingan politik mereka. Rumusannya mudah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah pembangkang Malaysia membuat alasan demi alasan supaya pilihan raya tidak diadakan.

“Kita percaya jika pembangkang yakin mereka dalam kedudukan boleh menang pasti tidak seminit pun mereka akan melengahkan PRU-15.Justeru, mengapa lebih 32 juta rakyat Malaysia perlu membenarkan pembangkang termasuk Nga Kor Ming dan DAP yang menentukan masa depan kita? Kita harus bangkit bersama untuk menentukan apa yang terbaik untuk negara pada PRU-15. Inilah peluang buat kita semua,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.