Biar Rakyat Tentukan Kerajaan Terbaik Untuk Mereka – Ahmad Zahid

 

ALOR GAJAH, 2 Okt – Rakyat diyakini akan dapat membuat penelitian serta penilaian sewajarnya kerajaan manakah yang terbaik untuk mentadbir negara terutama antara tempoh 2018 hingga ke hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh satu penggal hingga ke hari ini masyarakat dapat melihat dengan mendalam ketiga-tiga kerajaan yang telah menerajui negara.

“Dalam tempoh antara 2018 sehingga kini kita telah melihat beberapa peristiwa yang sangat tidak memihak kepada rakyat dan saya mengharapkan agar rakyat terus mengetahui bahawa di dalam tempoh satu penggal ini tentunya mereka telah boleh membuat perbandingan di antara ketiga-tiga kerajaan yang telah memerintah negara ini.

“…dan tentunya mereka dapat melihat track record selama 62 tahun UMNO/Barisan Nasional (BN) memerintah dapat diterjemahkan semula pada PRU ke-15 ini setelah mandat diberikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Program Bootcamps BNComms, di sini hari ini.

Program berkenaan diadakan selama tiga hari  dengan penglibatan lebih 900  peserta dari seluruh negara.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menjelaskan  Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat ketetapan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mesti diadakan pada tahun ini.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat ketetapan bahawa pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini juga sebelum banjir. Kami telah meneliti laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan Metereologi bahawa hujan akan mula turun secara purata di kebanyakan tempat sepertinya tidak ada petanda akan berlaku banjir.

“Kita berpegang kepada hukum Allah dan kita tidak boleh mendahului-Nya namun berdasarkan kepada kajian-kajian saintifik kita berpegang pada laporan yang dibuat oleh laporan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Bootcamp BNComms, disini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional seterusnya berkata, pembubaran Dewan Rakyat akan dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong supaya mandat baharu dapat diperolehi oleh parti itu.

“Untuk itu, MKT juga telah membuat ketetapan bahawa pembubaran Dewan Rakyat setelah Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda mengikut Perlembagaan Perkara 40(1) di mana kita tetap dan terus menjunjung perlembagaan serta rasa taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

“…dan tentulah ketetapan-ketetapan itu telah mengambil kira semua faktor. Kita mahu pembubaran setelah proses-proses yang kita sebutkan tadi hendaklah dilakukan dengan segera supaya mandat baharu dapat diperolehi dan Kerajaan baharu dibentuk supaya tidak lagi berlaku ketidakstabilan politik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.