Ahmad Zahid Sahkan Pertemuan Dengan Presiden Pas, Jawab Pelbagai Spekulasi

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang ada mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediamannya pada 17 September lalu.

Beliau dalam kenyataan media hari ini mengesahkan berikutan pelbagai spekulasi timbul berkenaan dengan pertemuan beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan Abdul Hadi.

“Pertemuan empat mata tersebut berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwwah persaudaraan Islamiah.”

Katanya, banyak perkara diperbincangkan termasuklah mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika.

“Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO-PAS pada waktu itu berpaksikan kepada keinsafan betapa perlunya dua Parti Induk Bumiputera Melayu-Islam terlebih dahulu diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar.

“Penyatuan yang berteraskan keindukan Bumiputera Melayu Islam ini adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum.

“UMNO hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanahair. Sebab itulah sejak dari awal UMNO sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.”

Namun katanya, UMNO tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka.

“Justeru, sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat Piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

“Sehubungan dengan ini juga, apa juga aspek yang bersangkutan dengan isu ini haruslah dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasmi saya mahupun parti,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/10/KENYATAAN-MEDIA-2-Oktober-2022.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.