Tommy Thomas Akan Disiasat, Kerajaan Wajar Dedahkan Siasatan Petugas Khas – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata amat wajar Kerajaan mendedahkan dapatan oleh Pasukan Petugas Khas terhadap buku Tommy Thomas yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan rakyat mahu tahu 19 perkara tersebut kerana tindakan ini akan ‘restore public confidence’.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan agensi penguatkuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum Tommy Thomas akan disiasat atas empat isu utama badan kehakiman iaitu rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa, kecuaian professional dan isu hasutan.

“Tahniah Perdana Menteri, ia keputusan yang dinanti- nantikan. Tommy Thomas satu- satunya mantan Peguam Negara (AG) yang terlalu angkuh dan suka memandai dan dia ingat dia kebal selamanya.

“Jangan pula Bar Council, Dap dan Rafizi membela Tommy Thomas walaupun kita tahu mereka sudah masuk kluster Panca Delima. Malam jadi manusia, siang jadi ular,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Pasukan Petugas Khas Siasatan telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.

Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 124 (1) Kanun Keseksaan penyebaran laporan palsu, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.