PH Sudah Diberi Peluang… Namun Ternyata Gagal Mentadbir – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Pakatan Harapan (PH) khususnya Dap tidak lagi boleh memainkan naratif meminta pengundi agar memberikan mereka peluang untuk mentadbir semula apabila ternyata mereka gagal untuk menjalankan pemerintahan kerajaan dengan baik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pelbagai kerosakan yang mereka lakukan semasa memegang tampuk kepimpinan sehingga mereka sendiri tidak boleh menafikannya.

“Tentang pelantikan politik, mereka lebih teruk. Mereka buat lantikan-lantikan politik tanpa segan silu. Seperti melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. Itu orang yang paling kanan dalam parti. Tommy Thomas di dalam bukunya turut mendedahkan banyak perkara termasuk soal pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara, semuanya adalah lantikan politik yang dilakukan oleh kerajaan PH.

“Mereka boleh buat apa sahaja. Pada saya, itu sebabnya kenapa mereka hanya boleh memerintah selama 22 bulan bahkan yang bagusnya sekarang ini, Dap tidak lagi boleh menafikan kelemahan mereka ketika diberi kuasa sebab mereka sudah diberi peluang.

“Mereka tidak lagi boleh berkata ‘bagi kami peluang memerintah’ sebab mereka sudah diberi peluang dan rakyat dapat melihat bagaimana, apa yang terjadi kepada negara apabila mereka memerintah,” katanya menerusi live Facebook di UMNO Online.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang berkata, itu adalah antara sebab kerajaan PH tumbang dan ternyata ada hikmahnya mengapa mereka diberikan peluang sedemikian.

“Sebab itu mana ada dalam sejarah di Malaysia ini khususnya sesebuah kerajaan itu tidak boleh bertahan sehingga cukup penggal. Termasuk di negeri-negeri mereka memerintah seperti di Johor, Melaka dan Sabah, semuanya tumbang.

“Ada hikmahnya juga apabila kerajaan PH ini berpeluang untuk memerintah. Pertama, kita boleh menilai kemampuan mereka apabila mereka diberi peranan. Kedua, kita boleh melihat bagaimana sesebuah kerajaan itu kalau tidak stabil, terlampau banyak ‘politiking’, maka itulah jadinya. Iaitu tidak boleh bertahan lama.

“Ini berlaku kepada kerajaan PH apabila berlaku banyak ‘politiking’ sehingga wujudnya Sheraton Move, maka kerajaan itu tumbang. Apa maksudnya? Tidak ada stability.”

Sebab itu katanya, kestabilan adalah penting dalam memastikan masa hadapan negara terjamin.

“Pada saya itulah puncanya kenapa UMNO/BN diberi mandat yang besar baik di Melaka, baik di Johor. Mereka serik dengan sebuah kerajaan yang lemah, dan sukar untuk membuat sesuatu dasar. Jika kerajaan itu terlalu lemah, pelabur asing pun tidak yakin,” katanya lagi.

Tambah Mohd Puad lagi, kestabilan yang dibawa oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) menyebabkan pertumbuhan ekonomi di Johor dan Melaka membangun dengan pesat.

“Sebab itu di Johor, dalam tempoh enam bulan selepas kita menang besar, 40 kerusi kita berjaya mendapat pelaburan sebanyak RM61 bilion yang menyumbang kepada 6,000 peluang pekerjaan. Itu juga berlaku di Melaka. Bayangkan, Melaka berada di kedudukan ke-5 dan Johor di kedudukan teratas.

“Apabila adanya kerajaan stabil, maka barulah pelabur berani masuk. Tapi bayangkan di negara kita sendiri, sehingga ke hari ini kita berhadapan dengan masalah kemasukan pelabur asing. Azmin Ali sudah beberapa kali ke luar negara. Pergi ke Qatar dan sebagainya sampai disebut tentang ‘seperti langit’ tentang jumlah pelaburan yang akan masuk daripada Qatar ke Malaysia.

“Ini disebut oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tapi kita melihat Qatar melabur sebanyak RM30 bilion di Indonesia. Tak masuk pun ke Malaysia. Sebab mereka tahu kerajaan kita tidak stabil. Siapa nak ambil risiko. Sebab itu saya katakan tadi, ada hikmahnya apabila PH diberikan peluang dan ternyata mereka gagal,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.