Rahman Sifatkan Pembangkang Pelik, Ajaib… Lontar Kerajaan Gagal Tetapi Tidak Mahu PRU

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan pembangkang hari ini bukan sahaja pelik malah pandangan mereka mengenai pilihan raya umum juga juga amat ‘ajaib’

Malah kata beliau pandangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang turut mendakwa kerajaan hari ini gagal dan sebagainya menimbulkan seribu satu persoalan kerana jika kerajaan hari ini didakwa gagal, mereka sepatutnya setuju untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

“Jadi Rafizi ini… kalau kerajaan hari ini dikatakan gagal dan sebagainya sepatutnya ambillah peluang untuk jatuhkan BN. Tetapi aneh dan ajaib. Di negara-negara lain semua parti pembangkang mahukan pilihan raya diadakan secepat mungkin agar mereka boleh diberikan peluang untuk menjadi kerajaan.

“Di sini terbalik pula… kita pula yang dalam kerajaan mahu untuk memberikan legitimasi kepada kerajaan yang dibentuk sekarang ini, yang ada kaitan dengan keputusan ahli parlimen dan bukannya keputusan rakyat… kita mahu kembalikan kepada rakyat untuk memberikan mandat baharu kepada kerajaan.

“Kita konsisten sejak ‘Sheraton Move’.  Kita mahukan pilihan raya dan itu yang kita mahukan bukannya sekarang sahaja. Keduanya kita pun berada dalam masa yang bersesuaian dan selalunya pilihan raya ini diadakan antara empat hingga empat tahun setengah sebelum habis tempoh dan kita berada dalam kedudukan itu sekarang maka bukan benda yang pelik mahupun ajaib untuk mengadakan pilihan raya empat tahun setengah selepas pilihan raya yang lalu,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada program bual bicara menerusi yang dipancarkan melalui laman Facebook UMNO Online malam tadi.

Beliau seterusnya menambah, tahun depan pelbagai cabaran yang mendatang dan ianya dikhuatiri kerajaan yang dibentuk selepas itu tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berdepan dengan cabaran yang ada.

“Kita konsisten dan apabila kita pergi ke pilihan raya ini kita mahukan rakyat membuat keputusan sebab tahun depan kita akan berdepan dengan lebih banyak  cabaran terutama cabaran ekonomi.

“Kalaulah kata PRU diadakan pertengahan tahun depan maka kerajaan yang ada pada tahun depan itu hanya memikirkan politik untuk enam bulan yang pertama. Selepas itu katakanlah menang dan terbentuk kerajaan pada bulan enam atau bulan tujuh, ia tidak cukup masa untuk menangani masalah-masalah ekonomi yang bakal mendatang pada tahun hadapan.

“Kita nakkan kerajaan itu yang berlegitimasi, yang mempunyai suara rakyat supaya kita ada cukup masa untuk mempersiapkan negara ini untuk berdepan dengan segala masalah ekonomi yang bakal mendatang pada tahun-tahun akan datang. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya. Jadi kita perlu ada sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat yang boleh memberikan kestabilan,” tambahnya.

Rahman seterusnya menambah, apatah lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin mula mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan itu adalah satu sebab kenapa tidak perlu dipertahankan kerajaan yang ada hari ini.

“Dan saya kira apabila Tan Sri Muhyiddin mula mengkritik Perdana Menteri, tidak ada sebab lagi untuk mempertahankan kewujudan kerajaan hari ini. Baik kita pergi kepada rakyat dan minta mandat baharu.

“Tidak semestinya BN menang walaupun kita yakin… pilihlah mana yang terbaik dan pilihlah parti yang mempunyai ‘track record’, yang mempunyai pengalaman dan mudah-mudahan parti itu adalah BN,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.