Politik Dendam ‘Atok’ 22 Bulan, Siapa Yang Tidak Dizalimi?
BAGAN DATUK, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan sifat dendam menjadi pegangan utama individu tertentu bagi memastikan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menggelarkan ‘atok’ kepada individu tersebut, beliau berkata setelah mendapat kuasa pelbagai ancaman dibuat kepada pemimpin UMNO/BN demi kepuasan politik.
“Apabila kerajaan baharu dibentuk yang kononnya mendapat mandat daripada rakyat tapi dendam kesumatnya berlebih-lebihan… atok, dunia kata pergi kubur kata mari, taubat la cepat-cepat janganlah zalimi orang.
“22 bulan siapa yang tidak dizalimi? Kononnya dia bersih, anak-anak bersih… apa yang dibuat? Merancang untuk aib, memalukan pemimpin, itu berlaku pada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya juga dengan 87 pertuduhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena majlis kesyukuran yang diadakan di Surau Parit 25 serta di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini, Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pertuduhan yang dilakukan oleh musuh politik itu juga adalah bertujuan untuk menghilangkan fokusnya terhadap kebangkitan parti terutama selepas kekalahan pertama kali UMNO/BN pada PRU14 lalu.
“Empat tahun turun naik mahkamah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul, malu duduk di kandang orang yang tertuduh, kerusi kayu, selama itu sekejap Mahkamah Shah Alam, (dan) Kuala Lumpur.
“Tujuannya supaya saya sibuk turun naik mahkamah dan parti dibiarkan tetapi saya amat yakin doa orang yang dizalimi tidak ada hijab, Allah dengar,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Beliau pada masa yang sama turut berharap tragedi kekalahan UMNO/BN itu dapat dijadikan pengajaran sebaiknya untuk kebangkitan parti menuju pilihan raya akan datang.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid yang didapati tidak bersalah atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib