Cerita Isu Ekonomi Negara Tak Habis… Shahril Minta Rafizi Lihat Fakta, Data

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang cuba menggambarkan bahawa ekonomi Malaysia merudum akibat pelabur tidak mahu melabur dan membeli barangan eksport negara adalah tidak benar.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, perkara tersebut terjadi akibat soal aliran kewangan yang sememangnya banyak bergerak ke Amerika Syarikat (US) dan seluruh dunia mengalami nasib sama.

“Betul, nilai sesebuah matawang ini bergantung kepada permintaan sesebuah mata wang dan antara elemennya ialah jumlah eksport serta pelaburan. Dia (Rafizi) kata mata wang ini turun sebab kita tak cukup eksport dan pelaburan. Jadi, betul ke jumlah permintaan Ringgit ini menurun disebabkan perkara tersebut?

“Cuba tengok carta ini (Carta Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Julai 2022), eksport naik zaman siapa? Foreign Direct Investment (FDI) naik zaman siapa? Zaman Pakatan Harapan (PH) turun, zaman Perikatan Nasional (PN) turun dan zaman Ismail Sabri naik.

“Jadi, kenapa Ringgit turun berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) pada zaman Ismail Sabri? Sebab Rafizi cerita tak habis,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Beliau yang juga merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut memaklumkan bahawa punca utama permintaan matawang Ringgit rendah bukanlah disebabkan FDI dan eksport bahkan disebabkan Foreign Portfolio Investment (FPI).

“Sebab utama nilai permintaan matawang Ringgit rendah bukanlah FDI dan eksport tetapi FPI, financial flows. Financial flows ini adalah apabila kita memindahkan dana dari satu negara ke negara lain, bukan untuk buat kilang baharu atau beli barangan dalam negara tersebut. Tetapi untuk mendapatkan pulangan ataupun interest yang lebih tinggi.

“Apabila US menaikkan kadar faedahnya dengan cukup agresif sekali, maka banyak dana yang keluar daripada negara lain masuk ke aset-aset USD. Bukan untuk buat kilang di US, bukan untuk beli barangan, tetapi untuk mendapat pulangan kadar faedah yang lebih tinggi. Baik dalam akaun bank ke, baik dia beli bon US ke, itulah sebenarnya yang berlaku,” katanya lagi.

Menurut Shahril lagi, semasa Perdana Menteri (PM), Ismail Sabri berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan satu kerjasama monetari antarabangsa bagi membantu negara yang sedang membangun.

“Sebab itu baru-baru ini dekat UNGA, PM kita sebut kalau boleh diwujudkan satu kerjasama monetari antarabangsa supaya negara besar macam US, apabila mereka membuat dasar monetari kadar faedah mereka sahaja, jangan tak hiraukan langsung apa yang berlaku pada nilai matawang negara-negara lain terutamanya negara membangun.

“Jadi, Rafizi cuba gambarkan pelabur tak mahu masuk ke Malaysia, tidak mahu membeli eksport kita dan ekonomi Malaysia ini teruk sangat sebab itu nilai matawang kita turun. Bukan, ini soal financial flows yang memang banyak bergerak ke US sekarang ini,” katanya lagi.

Tambahnya, mata wang negara seluruh dunia banyak turun berbanding USD disebabkan perkara ini dan turut mengingatkan pihak pembangkang terutamanya Rafizi untuk melihat data serta fakta dalam mengulas sesuatu isu.

“Seluruh dunia banyak mata wangnya turun berbanding USD. Adakah negara-negara lain ekonominya sampah juga? Bukan. Tetapi ini soal keadaan sekarang, interest rate US sangat tinggi.

“Dalam keadaan ketidaktentuan dan krisis ekonomi dunia, memang selalunya dana akan pergi ke USD. Pendek cerita, dalam mengulas sesuatu isu, kena tengok data, kena tengok fakta. Formula itu penting. Tetapi realiti lebih penting,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.