Anwar, Rafizi Dicabar Dedahkan Laporan Forensik Pemilihan PKR – Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli dicabar untuk mendedahkan laporan forensik pemilihan parti itu baru-baru ini terutama pertandingan yang membabitkan jawatan timbalan presiden parti berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika melontarkan cabaran berkenaan berkata difahamkan laporan tersebut dibuat oleh satu badan bebas dan dapatan mengenainya telah pun dibentangkan kepada Anwar serta kepimpinan tertinggi PKR.

Menurut beliau mereka membuat keputusan untuk tidak mendedahkan dapatan kesimpulan yang telah dibentangkan itu berkaitan dakwaaan berlakunya kepincangan dalam proses pengundian pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

“Saya tahu ada audit forensik yang dibuat pada pemilihan PKR baru-baru ini termasuklah pertandingan Timbalan Presiden PKR. Kesimpulannya sudah ada dan kita dimaklumkan ianya telah dibentangkann kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kepimpinan tertinggi PKR.

“Mereka membuat keputusan untuk tidak mendedahkan audit forensik yang dibuat oleh badan bebas terhadap tuduhan bahawa ada kepincangan besar yang menyebabkan calon-calon lain kalah terutamanya ratusan ribu tidak diberikan hak untuk mengundi ataupun undi mereka tidak dikira.

“Saya ingin mencabar Rafizi atau Datuk Seri Anwar bentangkanlah dan saya kira ahli-ahli PKR terutama pemimpin-pemimpin di akar umbi mahukan ketelusan dalam pemilihan parti mereka. Jadi kalau betullah ada satu dapatan dihasilkan oleh badan bebas ini kita minta dikeluarkan, dan saya rasa barulah Rafizi boleh bermegah mengatakan beliau menang dengan cara yang betul,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada program bual bicara menerusi platform Facebook UMNO-Online yang disiarkan pada malam tadi.

Beliau seterusnya menambah ahli-ahli serta pimpinan PKR harus mendesak laporan atau dapatan berkenaan dikeluarkan untuk dikethaui umum.

“Saya buat kesimpulan di sini… kalau betullah dapatan itu diumumkan dan memang ada unsur-unsur penipuan saya kira PKR ini sepatutnya diharamkan ataupun paling tidak pertandingan semula. Kalau ada satu badan bebas untuk membuat audit dan tidak didedahkan kepada ahli-ahli PKR saya rasa itu perbuatan yang pada saya derhaka kepada ahli parti.

“Saya tidak ada akses kepada informasi dan mungkin untuk meleraikan perkara ini, mungkin Datuk Seri Anwar atau saudara Rafizi sendiri yang dikatakan menang dengan cara yang tidak begitu baik oleh pihak-pihak tertentu dalam PKR dedahkanlah. Kalau urusan parti mereka juga tidak dapat dijalankan dengan telus saya kira mereka tidak boleh diberikan peluang untuk menguruskan negara ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.