PM Dari BN Martabatkan Malaysia, Berbeza Zaman PH Bergelumang Fitnah – Rosesarwandi

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang memandang tinggi keberanian dan memuji Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO kerana mengangkat nama negara dan telah memartabatkan Bahasa Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-77. 

Ketuanya, Rosesarwandi Yaacob berkata ini cukup berbeza dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak tahu mengurus tadbir negara dengan sebaik-baiknya malah mencalarkan nama Malaysia. 

“Ibarat langit dengan bumi, ianya cukup jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pemimpin berpengalaman, mengangkat nama negara, melakukan urus tadbir  termasuk ekonomi, isu rakyat, sosial, pembangunan dan sebagainya. 

“Inilah perbezaan yang ketara di antara pemimpin UMNO dan PH yang hanya sentiasa bergelumang dalam perjuangan fitnah semata-mata,” jelasnya.

Tegasnya, kepimpinan BN lebih kredibiliti dari pimpinan PH semasa mereka menjadi kerajaan.

“Sepanjang PH memerintah negara selama 22 bulan, habis aset negara dijualnya dengan sewenang-wenangnya malah mereka tidak menjaga kepentingan rakyat dan selalu menyalahkan kepimpinan BN sedangkan mereka sepatutnya meneruskan kerja setelah mendapatkan mandat dari rakyat,” ujarnya.

Dalam hal ini, Rosesarwandi menyorot kepada ucapan PM di PBB yang mendapat perhatian apabila berucap dalam bahasa kebangsaan setelah sekian lama selepas bekas Perdana Menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman berucap di saat negara Malaysia diterima menjadi anggota pada 17 September 1957.

Dalam ucapan itu Ismail Sabri menyebut masalah yang paling besar di PBB adalah majlis keselamatan yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Perdana Menteri dengan tegas menekankan bahawa tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang tidak membantu orang awam.

“Beliau juga memberi peringatan kepada dunia bahawa perang bukanlah solusi yang terbaik untuk mana-mana negara. Contoh yang jelas adalah situasi di antara Rusia dan Ukraine yang memberi kesan penderitaan cukup besar kepada rakyat dan negara itu. Lihat saja keadaan yang terjadi telah memberi kesan buruk kepada keamanan, keselamatan global, ekonomi dan tergugatnya krisis makanan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.