Wanita Perlu Berani, Bijaksana Mendepani Politik Mencabar – Ahmad Maslan

SEPANG, 25 Sept – Sesiapa yang mahu menjadi pemimpin di negara ini perlu untuk menjadi seorang yang berani dan bijaksana terutamanya pemimpin wanita.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini adalah disebabkan politik balas dendam yang diamalkan oleh pihak pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH).

“Sesiapa yang mahu menjadi pemimpin di negara ini perlu berani dan bijaksana disebabkan politik di Malaysia ini kejam. Naik satu kerajaan, dendam dengan kerajaan lama.

“Mereka (PH) ini sangat licik dan jahat. Oleh itu, nak jadi pemimpin kena berani. Berani dan bijaksana. Sebab itu kita perlu hentikan politik dendam ini,” katanya ketika berucap di program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut memberikan sokongan sepenuhnya terhadap permintaan Wanita UMNO untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya dengan ini menyokong penuh 30 peratus wanita dari segi calon dan sebagainya.

“Tuan-tuan dan puan-puan, ada banyak perkara yang telah berlaku untuk kita jadikan panduan dan kita memerlukan segala data dan kita akan cuba yang terbaik untuk memenuhi kuota ini,” katanya lagi.

Menurut Ahmad lagi, kesetiaan dan kerajinan yang ditonjolkan oleh Wanita UMNO merupakan perkara yang paling dihargai oleh parti.

“Daripada memilih orang yang pandai, lebih baik pilih yang setia. Setia itu nombor satu. Ada dua orang bekas Naib Ketua Wanita kita dahulu yang tak setia. Namun ini cuma kes-kes yang terpencil.

“Antara faktor yang lelaki tak boleh atasi ialah kerajinan wanita. Kalau Ketua Wanita itu rajin, dia selalu turun padang, maka lelaki sukar untuk menolak calon yang rajin itu,” katanya lagi.

Program ‘Women Re-Energize Leadership Development’ berlangsung selama tiga hari dari 23 September sehingga 25 September dengan bertujuan untuk mengarus perdanakan perjuangan Wanita UMNO dalam mendepani PRU ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.