Solidariti Untuk Presiden UMNO… Setia, Sabar Tunggu Keputusan Mahkamah

SHAH ALAM, 23 Sept – Pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini kekal tenang biarpun dibanjiri dengan ratusan penyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Para penyokong parti yang hadir dengan berbaju putih dan setia menunggu keputusan mahkamah sama ada beliau akan membela diri atau dibebaskan.

Difahamkan mereka berkumpul sejak kira-kira jam 7 pagi tadi hadir ke pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memberi sokongan pada hari penentuan perbicaraan dakwaan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Mereka yang hadir terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara dan tiba di sini. Ada yang datang dengan menaiki bas dan kenderaan persendirian yang kebanyakkan kenderaan diletakkan di sepanjang bahu jalan berhadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Antara pemimpin UMNO yang dilihat turut hadir memberi sokongan moral kepada beliau ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Sepanjang prosiding berlangsung tiada kejadian yang tidak diingini berlaku malah penyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) akur segala perintah dan arahan yang diberikan serta berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.