Mentaliti Kemenangan Ke Arah PRU15, UMNO/BN Terus Bergerak Ke Hadapan – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Senator Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah mengajak para pendukung UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk memperteguh parti dan dan pemikiran mentaliti kemenangan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15

Katanya, sejak 2018 hingga kini rakyat telah melihat corak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan UMNO/BN maka beliau yakin rakyat matang dan bijak menilai mana kerajaan yang boleh membina negara dan mana kerajaan yang asyik dengan retorik politik serta hanya memberikan harapan palsu.

UMNO/Barisan Nasional (BN) menghadapi pelbagai cabaran sepanjang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan PRU ke-14 merupakan sejarah apabila kali pertama UMNO/BN tidak dapat mengekalkan kuasa.

“Jadi saya mohon rakan-rakan dan pendukung-pendukung UMNO/BN, ayuh kita teguhkan UMNO/BN dan pemikiran mentaliti kemenangan ke arah PRU ke-15,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Jelasnya, ujian PRU ke-14 memperlihatkan UMNO/BN erti sebenar setia kawan dan setia sahabat dalam perjuangan.

“UMNO/BN daripada berbelas rakan komponen, tinggal empat komponen kekal setia (UMNO, MCA, MIC dan PBRS) bangkit membina kekuatan. Belum cerita Ahli Parlimen yang lompat tinggalkan UMNO/BN kerana kepentingan peribadi.

“UMNO/BN dihina, dicerca, dikutuk dan pelbagai lagi. Tetapi semua itu diambil sebagai satu semangat untuk bangkit kembali membina kekuatan dan mendapatkan kembali sokongan rakyat. Ini sebahagian sejarah buat UMNO/BN,” katanya

Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, kini masanya untuk UMNO/BN terus bergerak ke hadapan bagi menghadapi PRU ke-15.

“Pelbagai soalan dan cerita-cerita luar bertanya kenapa UMNO/BN pergi solo dan bolehkah menang sekiranya keputusan tersebut dipilih? Saya nak berikan penjelasan mudah. 14 pilihan raya UMNO/BN pergi secara solo, tak akan baru sekali kita diuji dengan kekalahan kita takut nak pergi solo?

“UMNO/BN Insya-Allah akan terus gerakkan jentera akar umbi selain memberikan penerangan serta penjelasan isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang. Perkara yang paling utama kini adalah kesiapsiagaan jentera, perpaduan, penyatuan, pengukuhan, pendamaian dan kurangkan serangan sesama kita.

“Fokus musuh utama kita adalah pembangkang, bukan sesama kita. Jika kita boleh ubah pemikiran kita ke arah ini, rakyat akan kembali kepada UMNO/BN dan seterusnya akan memberikan mandat,” katanya lagi.

Tambah Armand lagi, sejak 2018 rakyat telah melihat pelbagai corak pentadbiran kerajaan dan beliau yakin bahawa mereka lebih matang dalam menilai parti mana yang dapat mentadbir kerajaan dengan baik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.