ADUN Dap Dibidas, Kerajaan UMNO/BN Enggan Buang Masa Layan Retorik Politik

JOHOR BAHRU, 23 Sept – Ahli Dewan Undngan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain membidas pemimpin Dap yang merupakan ADUN Skudai, Marina Ibrahim atas usul yang ditimbulkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti.

Tegas Sharifah Azizah, apabila ADUN Skudai menjadikan hal tersebut sebagai satu perkara berbangkit maka dikhuatiri ia seolah-olah mempertikaikan keputusan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan lompat parti.

“Atau barangkali, ini kerana YB-YB sana ketandusan idea untuk dikemukakan atau sengaja cuba menjadikan hal-hal remeh sebagai isu lantaran sokongan rakyat semakin luntur apatah lagi Kerajaan Negeri Johor di bawah teraju Barisan Nasional (BN) berlangsung lancar, kurang bercakap malah lebih bekerja.

“Maka kerana itu, untuk YB-YB sana tak perlulah diwujudkan jawatankuasa ini untuk dijadikan sebagai batu loncatan atau bahan retorik politik terbaharu sedangkan sekarang adalah masa untuk bekerja.

“Justeru kenapa tidak YB-YB sana bersama memaju dan menyemarakkan perkembangan Negeri Johor daripada membincangkan hal yang telah pun diputuskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan DUN Johor sempena Mesyuarat Ketiga Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 semalam.

Jelas Sharifah Azizah, RUU terbabit telah pun dibentang, dibahas melibatkan 54 Ahli Parlimen sebelum dilulus setelah mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, juga di perakui di Dewan Negara malah Baginda Yang DiPertuan Agong pun sudah memperkenankannya.

“Mahkota suka nak mengingatkan agar bersikap lebihkan akal, tajamkan minda kerana terlajak laku buruk padahnya apatah lagi jika bertindak mendongak langit, berjalan kepala di bawah sedangkan kaki ke atas. Perkara yang dah elok, cantik dan molek tak sewajarnya dibahaskan tapi ia ditimbulkan barangkali kerana pemimpin pembangkang masih keliru.

“Lebih dari itu, bukankah RUU tersebut amat baik khususnya mengekang kewujudan ‘katak-katak’ yang merosakkan demokrasi negara. Atau YB-YB sana lebih suka ada katak-katak?

“Sesungguhnya Kerajaan yang berpaksikan kepada mandat rakyat sebagaimana Barisan Nasional akan berusaha ke arah kemajuan iaitu amat jauh berbeza dengan kerajaan 22 bulan yang lebih banyak membawa musibah malah pelbagai perubahan cuba dilakukan tanpa melihat kepada polisi dan dasar yang akhirnya menyusahkan rakyat, Negeri Johor dan Negara secara keseluruhan.”

Kerana itu katanya, beliau mempersoalkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap enakmen berkenaan tapi bukanlah menolak Enakmen Anti-Lompat Parti.

“Soalnya mengapa nak wujudkan jawatankuasa sedangkan yang ada kini telah pun lancar dengan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah teraju Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi melaksanakan amanah dengan penuh wibawa.

“Apa yang pasti, kewujudan jawatankuasa adalah tidak perlu dan tidak ada kepentingan apatah lagi kerajaan negeri mempunyai barisan Exco yang penuh dedikasi serta terbukti melaksanakan tanggungjawab sebagaimana mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu,” katanya lagi.

Semalam, Persidangan DUN Johor menolak rundingan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti.

Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata rundingan itu tidak dipersetujui selepas undian dijalankan semasa persidangan terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.