3 Saksi Utama Pendakwaan Dalam Kes VLN Ahmad Zahid Tidak Boleh Dipercayai – Hakim

SHAH ALAM, 23 Sept – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tiga saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) adalah tidak boleh dipercayai, tidak boleh diharap dan tidak berwibawa.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika membacakan penghakiman lebih dua jam, berkata tiga saksi utama itu ialah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

“Saya dapati tiga saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Hakim Mohd Yazid berkata mahkamah mendapati notasi ‘Z’ dan ‘ZH’ yang tertera dalam lejar (UKSB) tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa tertuduh (Ahmad Zahid) menerima wang atau suapan itu.

“Saya juga mendapati walaupun ada cadangan bahawa tertuduh telah menerima sumbangan politik berjumlah RM200,000 sebanyak dua kali, namun tiada bukti yang mencukupi mengenai butir-butir di hadapan mahkamah untuk saya mengemukakan sebarang pertuduhan pindaan,” katanya.

Hakim selanjutnya berkata Harry Lee (SP15) dan Wan Quoris Shah (SP16) juga bersetuju bahawa tiada bukti bebas untuk menyokong dakwaan bahawa wang itu sebenarnya dibayar kepada Ahmad Zahid.

“Berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, saya dapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikemukakan di mahkamah, pemandu (saksi utama) tidak dipanggil, pengawal (rumah Ahmad Zahid) dan anggota polis tidak dipanggil,” katanya.

“Slip transaksi Touch ‘n Go atau log panggilan telefon dan mesej dengan tertuduh juga tidak dikemukakan (sebagai bukti),” katanya.

Merujuk kes solar Datin Seri Rosmah Mansor, Hakim Mohd Yazid berkata semua individu yang terlibat dalam proses untuk menyerahkan RM5 juta kepadanya dipanggil sebagai saksi.

“Bagaimanapun dalam kes Ahmad Zahid, saksi-saksi yang terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai sumber dana itu termasuk Nicole (seorang ahli perniagaan dari Hong Kong) dan dua pengurup wang tidak dipanggil sebagai saksi bagi menyokong kes pendakwaan,” katanya. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.