Johor Perlu Tarik Pelabur Berkualiti, Capai Sasaran Negeri Maju – Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI, 22 Sept – Johor perlu menarik lebih banyak pelabur berkualiti pada masa hadapan dalam usaha untuk mencapai sasaran sebagai negeri maju menjelang 2030, menurut Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sehubungan itu, beliau berkata sasaran pertumbuhan ekonomi perlu konsisten dengan tujuh peratus yang disasarkan sebelum ini.

“Bagi mencapai matlamat dan cita-cita tersebut, sasaran pertumbuhan ekonomi perlu konsisten pada kadar tujuh peratus. Justeru, ia tidak membenarkan gerak kerja seperti lazimnya. Perniagaan tidak boleh seperti biasa, sebaliknya, menuntut kepada anjakan paradigma dan pemangkin yang boleh merangsang ekonomi kita.

“Kita perlu menarik pelabur berkualiti seperti dari sektor minyak dan gas, petrokimia, pusat data, industri elektrik dan elektronik, di samping mengembangkan industri makanan atau bank makanan. Berkat gemblengan tenaga semua pihak, Johor kembali menjadi nombor satu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abd Manap, ADUN Tiram Azizul Bachok, ADUN Benut Datuk Hasni Mohammad, ADUN Sungai Balang Selamat Takim dan ADUN Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan pada Mesyuarat Ketiga Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini hari ini.

Mereka ingin tahu perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan pelaburan di Johor terus meningkat selain faedah yang akan diterima rakyat termasuk di luar daerah susulan pelaburan sebanyak RM60.9 bilion yang direkodkan, sekali gus yang tertinggi dalam negara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah menggariskan enam inisiatif untuk memperkasakan lagi aktiviti pelaburan serta memastikan kemasukan pelaburan berkualiti ke negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu termasuk memperkasakan peranan Invest Johor sebagai agensi utama kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk membawa masuk pelabur dari dalam dan luar negara dan memperhebat Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) dan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) yang berada di bawah seliaan Invest Johor.

Turut dirancang ialah misi perdagangan serta pelaburan strategik dan berfokus yang disasarkan bagi meraih pelaburan dan industri berteknologi tinggi, inovasi serta penyelidikan yang akan melengkapkan dan mengukuhkan ekosistem perindustrian di Negeri Johor, katanya.

Onn Hafiz berkata, daripada pelaburan berjumlah RM60.9 bilion itu, sebanyak 7,421 peluang pekerjaan dijangka ditawarkan kepada rakyat menerusi 222 projek.

“Bagi sektor perkhidmatan, kebanyakan pekerjaan yang akan ditawarkan adalah untuk berkemahiran tinggi, membawa peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Dalam masa sama, lebih banyak peluang pekerjaan untuk disi bagi kategori separuh mahir.

“Pelaburan sebegini akan memberi limpahan ekonomi kepada industri sokongan yang terlibat dengan pelaburan sedia ada, dapat meningkatkan peluang pekerjaan secara am di Johor dan membawa manfaat kepada peniaga tempatan seperti industri makanan dan pelancongan dalam negeri,” kata beliau.

Menurutnya, selain impak langsung dari segi penjanaan aktiviti ekonomi dan pekerjaan berkualiti kepada rakyat, pelaburan yang berjaya dibawa masuk akan turut menyumbang dari segi pendapatan cukai tanah dan cukai harta.

“Pelaburan yang berkualiti ke Johor, secara tidak langsung akan menggalakkan pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran kepada pasaran pekerjaan domestik. Selain itu, Johor akan berupaya untuk terus memperbaiki struktur ekonomi, terutamanya melibatkan peningkatan tahap produktiviti dalam negeri,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.