Perak Sasar Jadi Koridor Utama TVET Negara

LENGGONG, 21 Sept – Perak meletakkan sasaran menjadi Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri terus komited memperkasa dan mensejahterakan pendidikan tinggi negara bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berpotensi menembusi pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri.

“Ketika ini kita ada 100 buah institusi pendidikan dan 62 daripadanya menawarkan kursus TVET, selebihnya bidang akademik lain dan menjelang 2030 apabila pelaburan semakin berkembang di negeri ini, mereka akan memenuhi permintaan pemain industri tanpa perlu berhijrah ke luar Perak.

“Pelan Perak Sejahtera 2030 ini adalah salah satu cara memastikan rakyat mendapat pekerjaan serta meningkatkan taraf sosioekonomi tanpa perlu berhijrah ke luar Perak,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvensyen Program Empower NCER Perak – Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Dewan Serbaguna Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini semalam.

“Jadi anak muda Perak perlu ambil peluang ini sebaik-baiknya kerana kerajaan negeri sudah menyusun dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi, khususnya menarik pelaburan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat,” tambahnya.

Sementara itu Saarani berkata kerajaan negeri menyambut baik langkah kerajaan agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk ahli badan kehakiman, perlu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika perkara ini dijadikan dasar kerajaan bagi mengelak sebarang salah guna kuasa dan sebagainya, maka kita akan persiapan ke arah itu.

“Kita akan minta mereka yang berkaitan untuk membuat pengisytiharan harta dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan, perkara seperti ini telah pun dilakukan ketika saya menjadi Exco dahulu,” katanya.

Pada Isnin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketetapan pengisytiharan harta itu diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), yang turut memaklumkan perincian kod etika baharu berkenaan, dan ia akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat akan datang. – BERNAMA