Shabery Jawab Pas : Berpolitik Biar Ada ‘Class’…Bukan ‘Bilik Darjah’

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis menjawab sindiran pemimpin Pas berkaitan hasrat UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk bertading secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya menerusi catatan di Facebook beliau, untuk memasuki selimut mereka yang pernah mengkhianati UMNO amat susah malah tidak ‘berselera’.

“Ustaz sindir UMNO, ‘nak ulang keputusan PRU14 sila tanding solo’.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/18/nak-ulang-keputusan-pru14-sila-tanding-solo-idris-sindir-umno/

“Saya jawab, memang pedih kalah PRU, tetapi lebih pedih bila dikhianati lepas itu. Mereka yang mengkhianati UMNO kini berada dalam PPBM. Kini mereka berdakapan dengan Pas dalam satu selimut. Nak suruh UMNO masuk dalam selimut yang sama susahlah. Tak lalu (tak berselera) kami. Biarlah ada ‘class’ sikit,” katanya.

Menerusi perkongsian yang sama Shabery turut berkata berpolitik biarlah ada ‘class’ dan mungkin ustaz yang sindir UMNO tidak faham apakah itu ‘class’.

“Saya puji PH. Mereka lebih ada ‘class’ bila tolak cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin nak kembali berpakat bawah khemah besar lawan BN.

“Walaupun nak menang, mereka  pun tak berselera dengan orang PPBM seperti Azmin dan lain-lain yang mengkhianati mereka dulu.

“Berpolitik biarlah ada ‘class’ sikit. Mungkin Ustaz yang sindir UMNO tak faham apa itu ‘class’. …. bukan bilik darjah,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.