KUSKOP Usul Tujuh Inisiatif Baharu Untuk Belanjawan 2023

KUALA SELANGOR, 17 Sept – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengusulkan tujuh inisiatif baharu yang memfokus kepada pembangunan usahawan secara menyeluruh dalam Belanjawan 2023.

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata beliau telah melakukan libat urus bersama Kementerian Kewangan bagi mengusulkan inisiatif-inisiatif itu.

“Kita ada letak tujuh inisiaitif baharu untuk kita mendekati golongan usahawan termasuk graduan dan beberapa golongan lain.

“Kita harap dua atau tiga daripada tujuh (inisiatif) yang dicadangkan itu diterima. Saya tidak pasti sama ada permohonan (cadangan) itu lulus atau tidak. Kita kena tunggu 7 Okt depan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Usahawan dan Koperasi KUSKOP di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Noh berkata inisiatif baharu itu akan membantu semua lapisan usahawan antaranya informal, mikro serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Sebelum ini kita telah kenalkan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), kita mendapat peruntukan RM200 juta dengan RM10,000 maksimum pinjaman diberikan tanpa faedah.

“Skim ini cukup baik, kita perlu perluaskan lagi skim ini kepada golongan usahawan yang lain,” katanya.

Tengku Zafrul pula berkata pihaknya masih mengkaji inisiatif yang dikemukakan KUSKOP dan memaklumkan cadangan yang dikemukakan kementerian itu adalah sangat baik serta penting untuk ekonomi negara.

Terdahulu, sejumlah RM15,472,223.60 pembiayaan telah disalurkan kepada 34 usahawan serta koperasi yang diserahkan melalui agensi KUSKOP iaitu TEKUN Nasional, SME Corporation Malaysia, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Amanah Ikhtiar Malaysia.- BERNAMA