Tolak Spekulasi Gugur Kes Jika Menang PRU15, UMNO/BN Bukan Macam PH – Hasan

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abdul Rahman membidas momokan yang mengatakan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 maka pendakwaan terhadap pemimpin UMNO yang sedang berlangsung di mahkamah akan digugurkan.

Sedangkan tegas Hasan, terdapatnya pendakwaan terpilih semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dan sewenang-wenangnya menggugurkan kes yang berkaitan dengan kepemimpinan mereka.

“Zaman mereka memerintah dahulu digugurkan 15 kes… kena beritahu rakyat Malaysia bahawa BN menang rakyat akan senang. Kita tak akan cerita pasal pendakwaan kita lalui, sebagai contoh saya sendiri telah melalui proses pendakwaan sebanyak 34 pertuduhan dan akhirnya mahkamah melepaskan serta membebaskan, itu atas dasar kebenaran dan bukan politik.

“Yang orang kata politik… kita nak PRU, bila UMNO/BN menang PRU 15 biarlah kepimpinan mengatur sistem pentadbiran negara termasuk badan eksekutif, institusi kehakiman dan sebagainya. Kita dalam politik tak payah dan tugas kita memilih serta mengundi parti yang telah banyak dan terbukti jasanya kepada rakyat.

“Kalau marah pada BN dan tidak mahu mengundi pada BN… itu dahulu kerana sekarang ini kita ada cara baharu dan akan menampilkan ramai muka baharu dalam PRU15 nanti. Kita akan tampilkan pendekatan baharu ini kerana benda yang baharu orang minat dan ini semuanya ada ‘formula’,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Terdahulu dilaporkan ketika kerajaan PH di bawah Peguam Negara mereka, Tommy Thomas, sebanyak 15 kes melibatkan rasuah, penyelewengan, fitnah serta hasutan yang dilakukan pemimpin mereka digugurkan antaranya Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.

Hasan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menzahirkan kesyukuran kerana Mahkamah Sesyen telah membuktikan beliau tidak bersalah atas kesemua 34 pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

“Saya amat bersyukur kerana baru-baru ini mahkamah telah melepas dan membebaskan saya daripada 34 pertuduhan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya lagi.

Ujarnya kepimpinan dalam UMNO/BN mendepani pendakwaan berdasarkan perundangan sebagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak namun mestilah diberikan proses keadilan.

PH menggugurkan tuduhan terhadap 15 pemimpin mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu kata Hasan berkata biarlah ‘Top 5’ berbincang dan memutuskan untuk PRU dilaksanakan dengan secepatnya.

“Walaupun sepatutnya UMNO/BN mengadakan PRU15 selepas menang besar pada PRN Melaka dan Johor tapi ianya tidak berlaku dan sekarang ini untuk mengadakan PRU maka biarlah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta ‘top 5’, bincang dan putus serta bawa pada Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT).

“Siapa tak nak… siapa pun nak pilihan raya cepat supaya dapat serah mandat pada rakyat dan pilih balik kerana kita tahu kerajaan yang sedia ada ini kerajaan yang rapuh. Kita nak kerajaan yang kuat dan stabil demi kemakmuran negara.

“Kita tunggu pengumuman pilihan raya yang ke-15 dan tak lama lagi. Apa pun pilihan raya akan tiba dan jentera bersediakah kita? Jentera UMNO/BN Jasin telah bersedia sejak dahulu lagi kerana selepas PRN Melaka cuma harus memperkasakan lagi,” ujarnya.

Seterusnya kata Hasan lagi, pemimpin UMNO/BN harus segera menyelesaikan segala permasalahan bagi mendepani PRU nanti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.