Rina Harun Perlu Fokus Isu Penting… Norliza Gesa Henti Jadikan Wanita Bahan Gurauan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abd Rahim meminta pemimpin serta rakyat untuk berhenti menjadikan wanita sebagai bahan gurauan.

Ini kerana katanya, video promosi yang dimuat naik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun di aplikasi TikTok, seakan-akan merendahkan kaum wanita.

“Saya telah melihat video yang dikatakan oleh YB Hannah Yeoh yang memaparkan selebriti membuat video promosi seakan merendah-rendahkan kaum wanita.

“Ingin saya berpesan kepada Hannah Yeoh, adalah lebih baik melihat video itu secara penuh serta berhenti menanam rasa kebencian dengan tidak menceritakan intipati dan matlamat video promosi itu dibuat. Namun apa yang berlaku itu benar, ianya mengguris hati,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut berpesan secara peribadi kepada selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor untuk menggunakan bahasa yang baik sekiranya ingin bercakap mengenai wanita.

“Kepada selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor, saya secara peribadi memberi nasihat agar selepas ini jika ingin berkata apa-apa berkaitan wanita, haruslah menggunakan bahasa yang lebih baik dan bukan merendah-rendahkan.

“Nampak seperti isu kecil tetapi hati wanita ini mudah tersentuh. Benar jika wanita merajuk siapa yang akan pujuk. Tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri. Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norliza turut mengingatkan Rina untuk lebih memberikan fokus kepada isu-isu yang lebih penting dan tidak keluar selepas isu tersebut viral sahaja.

“Dan peringatan kepada YB Rina Mohd Harun, tolong fokus kepada isu-isu yang lebih penting. Jangan keluar selepas isu viral sahaja. Isu Bella terutamanya menjadi tanda tanya apa tindakan susulan daripada YB? Rentetan kepada Penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak dilihat seperti tidak berfungsi.

“Saya mohon agar YB Rina Harun lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam. Isu kanak-kanak dan wanita yang banyak hari ini terutamanya gangguan seksual dan keganasan rumah tangga perlu menjadi fokus utama sepatutnya,” katanya lagi.

Video berdurasi selama 40 saat itu merupakan promosi bagi Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur.

Video tersebut menerima kecaman hebat apabila selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor meletakkan label-label tertentu kepada wanita seperti ‘wanita ni semua lambat’, ‘aku nak belasah kepala korang’, seolah-olah merendahkan kemampuan dan harga diri wanita. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.