PH Hipokrit… Gugur 15 Kes Mahkamah Ketika Jadi Kerajaan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bahawa kerajaan 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) berjaya memberi mesej serius mengenai rasuah dalam tempoh tersebut dianggap sebagai hipokrit.

Pengamal Undang-Undang, Kamarudin Ahmad, 73, membidas kenyataan terbabit malah menegaskan bahawa semasa di bawah pemerintahan PH, Peguam Negara yang dilantik oleh mereka iaitu Tommy Thomas, begitu banyak kes penyelewengan digugurkan.

“Kita lihat ini satu hipokrit kerajaan PH di bawah Peguam Negara mereka, Tommy Thomas. Semasa kerajaan PH melantik beliau sebagai Peguam Negara, begitu banyak kes penyelewengan yang dilakukan pemimpin mereka digugurkan.

“Ini termasuklah kes rasuah Lim Guan Eng. Sekiranya dibandingan dengan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN), tiada ada satu pun kes pemimpin UMNO/BN yang digugurkan atas dasar perkiraan politik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Kamaruddin lagi, dua pemimpin UMNO iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah meminta untuk kes mereka digugurkan serta menjalani proses mahkamah seperti rakyat biasa.

“Datuk Seri Najib tidak memohon untuk kes beliau digugurkan. Begitu juga dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kedua-duanya berdepan dengan kes mahkamah dan Datuk Seri Najib telah pun menerima hukuman seperti rakyat biasa.

“Kita lihat tidak ada permainan politik dalam kes Datuk Seri Najib dan saya yakin begitu juga dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Maka Hannah Yeoh tidak sepatutnya menggunakan isu tersebut untuk kepentingan PH,” katanya lagi.

Sebanyak 15 kes melibatkan rasuah, penyelewengan, fitnah serta hasutan yang dilakukan oleh pemimpin PH telah digugurkan oleh Peguam Negara lantikan mereka selepas mereka berjaya menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

PH menggugurkan tuduhan terhadap 15 pemimpin mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah; Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.